5 fakta tentang Agong dari dulu sampai sekarang, ramai tak tahu fakta ini
Apa yang menarik pasal Sistem Raja Berpelembagaan kat Malaysia adalah kita ni antara negara rare kat dunia yang ada Perdana Menteri dan juga Agong.
Kedua-dua ni ada kuasa mereka sendiri, dan walaupun dari segi praktikal Perdana Menteri kita ni lagi berkuasa, Agong tetap ada tanggungjawab dia sendiri.
Macam Perdana Menteri, Agong kita dipilih melalui undian tapi bukan dari rakyat biasa tau. Hanya golongan sultan dan raja je boleh undi siapa yang akan jadi Agong.
Dan kalau kita perhati balik sejarah Agong negara kita ni, sebenarnya macam-macam dah jadi tau. Ada yang dah kena pilih tapi tak sempat tabal, ada yang jadi dua kali, malah ada yang tolak jawatan tu.
Jadi, jom kita tengok peristiwa penting sepanjang sejarah Agong di Malaysia.
1. Tuanku Abdul Rahman bukan pilihan pertama untuk jadi Agong
Siapa yang tak kenal Agong kita yang pertama, Tuanku Abdul Rahman kan? Hari-hari bukak wallet mesti jumpa.
Sebelum kita merdeka, beberapa langkah telah diambil oleh pihak British untuk memastikan yang kita ni dah betul-betul bersedia untuk mentadbir sebuah negara.
Salah satunya adalah penubuhan Majlis Raja-Raja di mana ia berfungsi sebagai pengganti Malayan Union.
Majlis Raja-Raja yang ditubuhkan pada tahun 1948 tu telah dianggotai oleh sembilan Raja-Raja yang kemudiannya ditugaskan untuk membantu Pesuruhjaya Tinggi British dalam menyelaraskan pentadbiran seluruh negara.
Bila tiba masanya untuk kita merdeka, Majlis Raja-Raja telah mengadakan mesyuarat untuk pilih Agong yang pertama.
Kalau ikut senioriti, sepatutnya Sultan Ibrahim dari Johor berhak memegang jawatan tu tapi berdasarkan dari sebuah buku oleh D.J.M Tate, jawatan tersebut ditolak oleh Sultan Ibrahim atas alasan usia yang sudah lanjut.
Malah masa mesyuarat nak pilih Agong yang pertama tu, Sultan Ibrahim telah diwakili oleh Tengku Mahkota.
Kalau ikut giliran, selepas Sultan Ibrahim dari Johor, jawatan tersebut patutnya jatuh kepada Sultan Abu Bakar dari Pahang tapi tak dapat undi yang mencukupi.
Akhirnya, semua telah bersetuju untuk memilih Tuanku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan sebagai Agong pertama Malaysia dengan meraih lapan undian.
Tuanku Abdul Rahman memegang jawatan Agong selama 3 tahun sebelum mangkat pada tahun 1960.
Jawatan Agong tu kemudiannya tu telah digantikan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Sir Hisamuddin dari Selangor, yang akan kami ceritakan seterusnya…
2. Agong yang tak sempat ditabalkan kerana mangkat
Yang ni boleh dikatakan Agong yang paling sekejap dalam sejarah Malaysia.
Tuanku Sir Hisamuddin mulanya merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pertama kat Malaysia, dan kemudiannya naik takhta jadi Agong.
Selepas pemergian Tuanku Abdul Rahman pada 1 April 1960, secara automatik Tuanku Sir Hisamuddin telah menggantikan jawatan tersebut. Sepanjang pemerintahan, Tuanku Sir Hisamuddin ni dikenali sebagai Sultan yang alim malah dia merupakan Agong yang terakhir untuk bagi khutbah solat Jumaat. Selain dari hal keagamaan, Tuanku Sir Hisamuddin pernah mengisytiharkan tamatnya tempoh darurat kat negara ni.
Tapi sayangnya pada bulan September tahun yang sama, Tuanku Sir Hisamuddin mangkat. Apa yang sedihnya, tak ada siapa tau punca utama kematian, tak cukup dengan tu baginda mangkat pada tarikh pertabalannya untuk jadi Yang di-Pertuan Agong. Tuanku Sir Hisamuddin berumur 62 tahun sewaktu tu.
Jawatan Agong tu kemudian telah disandangkan kepada Tuanku Syed Putra Alhaj dari Perlis. Manakala takhta Selangor pula telah diberikan kepada Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
3. Agong dari Kedah yang berkahwin dengan anakanda Agong lagi satu
Satu-satunya Sultan yang pernah memegang jawatan Agong dua kali (setakat ni) merupakan Sultan Abdul Halim dari Kedah. Tapi mungkin ramai yang tak tau bahawa Permaisuri pertama baginda merupakan anak kepada Tuanku Abdul Rahman. Ya! Bapa mertua Sultan Abdul Halim ni juga merupakan seorang Agong, yang pertama pulak tu.
Sultan Abdul Halim dan anak perempuan sulung Tuanku Abdul Rahman telah diijabkabulkan pada 1956 dan kemudian jadi sultanah tiga tahun kemudian. Sepanjang hidup Raja Permaisuri Agong, Tuanku Bahiyah telah banyak melakukan kerja amal jariah.
Ramai orang yang pernah berjumpa dengan Tuanku Bahiyah berkata, Raja Permaisuri Agong ni memang semangat betul nak tolong orang terutama sekali golongan miskin. Antara kerja amal yang popular adalah Yayasan Sultanah Bahiyah di mana organisasi tersebut bukan je kasi duit kat orang miskin, malah kasi rawatan, buat kursus pembangunan kerjaya untuk semua orang, kem untuk remaja, dan lain-lain lagi. Kalau korang nak semak, boleh tekan kat sini.
Kerajinan Tuanku Bahiyah ni boleh dikatakan mencontohi perangai Sultan Abdul Halim di mana baginda pun suka melaburkan masa kepada rakyat terutama sekali kat bahagian sukan dan hartanah.
Satu interviu Malaysiakini dengan anakandannya berkata bahawa Sultan Abdul Halim ni pernah bekerja kat Pejabat Daerah di Kedah dan menggunakan kemahiran tu dalam mentadbir negeri dan negara.
Hubungan Sultan Abdul Halim dan Tuanku Bahiyah berkekalan selama beberapa dekad sampailah Tuanku Bahiyah pulang ke rahmatullah pada tahun 2003 akibat kanser tapi legasi arwah tetap hidup terutama sekali dengan kerja amalnya.
Malah dengan usia Sultan Abdul Halim yang lanjut tu pun, baginda tetap ambil masa untuk melawat orang terutama sekali yang kat Yayasan Sultanah Bahiyah tu.
Lagi satu trivia pasal Sultan Abdul Halim ni, baginda telah menjadi Agong sewaktu Tun Razak dan juga Dato’ Seri Najib Razak!
4. Sultan Muhammad V hampir tak jadi Agong sebab pergolakan di istana
(Subtopik ni banyak merujuk rencana Utusan Online yang bertajuk Krisis Istana Resahkan Rakyat bertarikh 28/03/2010)
Kisahnya bermula apabila Sultan Kelantan masa tu, Sultan Ismail Petra sedang sakit dan tak mampu untuk memerintah. Jadi sewaktu Sultan Ismail Petra pergi menjalani rawatan kat Singapura, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai anak sulung dan memegang jawatan Tengku Mahkota menggantikan tanggungjawab ayahandanya tu.
Masa mula-mula tu memang tak ada masalah tapi tiba-tiba Setiausaha Sulit Sultan Kelantan masa tu mengumumkan bahawa Tengku Muhammad Faris Petra kena pecat, baginda yang tak ada kat Kelantan masa tu pun rasa pelik.
Lepas tu anak baginda yang lebih muda, Tengku Muhammad Fakhry telah dipilih oleh Majlis Perajaan Negeri Kelantan (MPN) sebagai Tengku Mahkota yang juga telah mendapat sokongan dari ibunya. Jadi, sekarang ni Kelantan ada dua Tengku Mahkota.
Kenapa ibunda sokong adiknya kami tak tau tapi berdasarkan Utusan, salah satu sebab kenapa abangnya kena ‘pecat’ adalah kerana baginda tak mendapat undian yang mencukupi dan telah mendapat jawatan Tengku Mahkota tu dengan cara tidak tradisional.
Akhir sekali, MPN bersetuju untuk naikkan Tengku Muhammad Faris Petra jadi Sultan Kelantan manakala adinda dan ibundanya ditangkap dan diberi pengawasan oleh pihak berkuasa.
Kat bawah ni kami sertakan video Unit Tindakan Khas (UTK) tangkap Tengku Muhammad Fakhry.
Haritu sebelum naik jadi Agong, Tengku Muhammad Faris Petra telah menabalkan adik kedua baginda, Tengku Muhammad Faiz sebagai pemangku Sultan Kelantan.
5. Agong dari Perak yang juga merupakan bekas Ketua Hakim Negara!
Sultan Azlan Shah dari Perak telah naik takhta jadi Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1989 dan sebelum baginda pegang jawatan tu, Sultan Azlan Shah sudah pun mempunyai kerjaya yang agak hebat dalam dunia Undang-Undang.
Malah sewaktu umur 37 tahun, Sultan Azlan Shah telah dilantik menjadi hakim untuk Mahkamah Tinggi dan ni secara sekaligus menjadikan baginda hakim yang paling muda. Beberapa tahun kemudian, baginda telah naik jadi Ketua Hakim Negara. Tapi memegang jawatan tu selama dua tahun je sebab kena naik takhta jadi Sultan Perak pula.
Lima tahun kemudian, Sultan Azlan Shah telah dipilih jadi Yang di-Pertuan Agong. Masa ni sangat menarik sebab sewaktu pemerintahan baginda sebagai Agong, Sultan Azlan Shah telah menyaksikan pindaan perlembagaan 1993 dimana semua kuasa-kuasa sultan/raja termasuk baginda punya sendiri telah dihadkan. Maksudnya, sultan/raja dah tak ada kuasa mutlak lah.
Kalau nak tau perbezaan sebelum dan selepas pindaan perlembagaan tu, korang boleh tekan kat sini.
Berpandukan dari sebuah buku tulisan Zainuddin Maidin, penyalahgunaan kuasa telah bermula sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi ia kemudiannya menjadi lebih besar sekitar 80-an terutama sekali apabila Tun Dr Mahathir dan kabinetnya memperkenalkan pindaan perlembagaan tersebut pada tahun 1983.
‘Pergaduhan’ antara kerajaan dan kerabat berlanjutan selama beberapa tahun dah masa tu, ada dua sultan je yang lantang lawan pindaan tersebut iaitu Sultan Johor dan Sultan Pahang. Tapi apa-apa hal pun, akhirnya, pindaan tersebut berjaya diluluskan dan sampai sekarang kuasa-kuasa sultan/raja telah dihadkan malah mereka mempunyai mahkamah sendiri untuk didakwa.
Pentingnya raja-raja dalam Sistem Raja Berperlembagaan
Kuasa raja-raja dah banyak bertukar dari dulu sampailah sekarang. Bukan sebab pindaan perlembagaan tahun 1993 je, malah Akta MKN (yang diluluskan tanpa perkenan Agong) baru-baru ni pun membenarkan PM mengisytiharkan darurat, satu kuasa yang biasanya berada di bawah kuasa Agong!
Namun walaupun banyak perubahan dibuat terhadap perlembagaan dan undang-undang, sultan dan Agong masih lagi mempunyai pengaruh yang sangat besar di hati pemimpin dan rakyat. Sultan-sultan juga sangat prihatin dalam masalah yang dilanda rakyat, seperti titah Sultan Perak yang risau pasal rasuah yang semakin teruk kat Malaysia ni:
“Sejarah menunjukkan bahawa perbuatan pecah amanah dan rasuah serta nafsu tamak harta dan penggunaan kuasa secara rakus oleh manusia adalah faktor yang menyebabkan kejatuhan banyak kerajaan dan keruntuhan sesuatu tamadun.” – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dipetik oleh Sinar Harian .
Dalam keadaan politik Malaysia yang makin tak menentu sekarang, mudah-mudahan raja-raja kita akan terus memberi teguran dan nasihat kepada golongan pemimpin. Daulat Tuanku!
*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 7 Januari 2019