7 petua supaya sambal tumis tidak merecik ke dinding dapur
Setiap kali melalui proses memasak sambal tumis pasti akan penuh dinding dapur dan kawasan sekitar dengan kotoran percikan sambal.
Satu hal pula terpaksa lap percikan sambal ini dan menjadikan anda malas untuk masak menu bersambal di kemudian hari!
Tapi, buat pencinta menu sambal tumis semua pasti akan mencari cara untuk mengelakkan berlakunya percikan sambal di dinding dapur setiap kali memasak.
Berikut merupakan perkongsian 7 tips masak sambal tidak merecik dari Twitter @AzharAndiTahir.
MASAK SAMBAL TUMIS TAK MERECIK GUNA 7 TIPS INI
Rupanya senang saja nak elak sambal merecik di dinding, ikut 7 tips ini ‘confirm’ dapur tak kotor! Caranya adalah:
1. Kisar bahan-bahan dengan minyak. Langkah ini untuk mengurangkan kandungan air dalam tumisan.
2. Kecilkan api bagi mengurangkan tenaga kinetik molekul-molekul dalam masakan. Ini kerana semakin tinggi suhu, semakin tinggi tenaga kinetik pada molekul.
3. Pilih kuali kalis lekat (non-stick). Ini kerana selaput kalis lekat ini mengurangkan kadar pengaliran haba ke komponen masakan.
4. Menggunakan kuali yang lebih besar. Logiknya, saiz yang besar berupaya menampung luas permukaan percikan.
5. Jika komponen tumisan tetap mengandungi banyak air, maka tumis tanpa minyak dahulu bahan kisaran itu sehingga sebahagian air tersejat, kemudian baru masukkan minyak dan tumis seperti biasa.
6. Paling mudah, gunakan penutup periuk ketika percikan sudah mula kelihatan. Namun, disarankan menggunakan penutup periuk yang mempunyai lubang kecil bagi membebaskan wap air.
7. Menambahkan bahan berasid (secukup rasa) seperti asam jawa, cuka atau asam keping. Langkah ini boleh mempercepatkan kadar air meruap daripada masakan sekali gus proses ‘pecah minyak’ cepat berlaku.
*Dah bersedia nak masak sambal tumis tanpa sebarang percikan? Selamat memasak!