9 maut, puluhan cedera gudang mercun terbakar dan meletup di Pekan Mundok

9 maut, puluhan cedera gudang mercun terbakar dan meletup di Pekan Mundok

 

Sekurang-kurangnya sembilan orang dilaporkan mati, manakala puluhan lagi mangsa cedera selepas stor bunga api dan mercun dekat Pasar Mundok di sebelah Thailand yang bersempadan dengan pekan ini, meletup petang tadi.

Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau cedera dalam kejadian itu.

Letupan kira-kira jam 2.30 petang waktu Thailand itu dipercayai berlaku di stor milik pembekal bahan berkenaan.

Beberapa kediaman penduduk di sekitar kawasan itu turut rosak.

Pasar Mundok terletak bertentangan dengan Kampung Bukit Lata, Rantau Panjang dan menjadi antara lokasi pilihan penduduk daerah ini berbelanja.

Meskipun dipisahkan oleh Sungai Golok, namun gegaran akibat letupan kuat itu dirasai penduduk hingga sebelah Rantau Panjang.

Penduduk, Mohd Zamri Adnan, 32, berkata ketika kejadian dia sedang nyenyak tidur dan segera bangun apabila mendengar letupan yang sangat kuat sehingga menggegarkan kediaman rumahnya.

Katanya, dia bersama jiran keluar dari rumah dan meninjau kawasan tepi sungai memandangkan kediaman mereka hanya terletak beberapa meter sahaja dari Sungai Golok yang memisahkan pekan Mundok dan Kampung Jeram Perdah, tempat mereka tinggal.

“Pada awalnya, kami semua juga memikirkan ia adalah letupan bom sebelum saudara di sebelah sana memaklumkan bahawa terdapat sebuah kedai mercun terbakar,” katanya.

Tambah Mohd Zamri, mereka juga dapat melihat asap tebal selain beberapa letupan kecil selama beberapa minit.

Dia mendakwa melihat video tular menunjukkan terdapat penduduk yang cedera akibat kejadian itu.

Menurut seorang lagi penduduk, Ismail Muda, 72, kejadian letupan berkenaan sangat kuat menyebabkan dia dan sekeluarga panik seketika kerana menyangka ia adalah letupan bom.

“Kami sebenarnya pernah berhadapan dengan situasi ini apabila berlaku kejadian bom meletup di sempadan Thailand, oleh itu kami ingatkan kali ini juga berlaku insiden yang sama.

Bagaimanapun, saya juga dimaklumkan oleh anak bahawa ia hanya letupan kedai mercun kerana dia mendapat maklumat melalui media sosial kerana kejadian ini sudah tular,” katanya.