“Pernah dapat RM10 sehari” – Terpaksa jual sambal, Mak Wan Latah menangis hampir setahun tak dapat ‘job’ berlakon
Pelakon veteran, Mak Wan Latah menangis tersedu-sedu ketika berbicara mengenai nasib dirinya yang sudah tidak menerima tawaran lakonan sejak hampir setahun.
Demi sesuap nasi
Menurut Mak Wan, dia buntu apabila sumber pendapatan utamanya sudah tiada lagi dan kini terpaksa menjual sambal buatan sendiri di Taiping, Perak demi menampung kos sara hidup.
Kata Mak Wan, dia menjual empat jenis sambal iaitu sambal hitam, sambal hijau, sambal tempoyak petai dan sambal ikan masin talang.
Ditanya berapa hasil jualan seharian yang diterima, jawab pelakon berumur 62 tahun itu tidak menentu namun pernah hanya memperoleh sebanyak RM10.
Kenapa dugaan dan ujian saya sebegini sedangkan dengan duit berlakon sebelum ini mampu hantar emak saya ke Mekah. Kenapa jadi begini? Kenapa pilih saya?
Dengan kontroversi lagi, macam-macam yang saya lalui. Dengan rumah tangga saya difitnah.
Tolonglah sokong dan beli sambal saya yang dijual di sebuah acara yang berlangsung di Taiping sehingga Oktober nanti.
Saya terpaksa berniaga sambal, mencari duit untuk meneruskan kehidupan harian. Memang sukar tetapi perlu lakukannya juga.
Mak Wan Latah berkata demikian ketika ditemui pada majlis ulang tahun ke-18 mStar serta pelancaran mStar Baek iaitu sebuah program yang diterbitkan untuk membantu artis-artis memerlukan, di Petaling Jaya, pada Selasa.
Saya nak job saja
Tambah pemilik nama Halimatussa’diah Mohd Daud, dia kesal apabila kontroversi panas sebelum ini telah mengganggu perjalanan karier seninya.
Saya rasa tidak adil apa yang berlaku pada saya sedangkan saya tidak aniaya sesiapa. Saya hanya nak ‘job’ saja, tidak pernah curi ‘job’ sesiapa pun.
Saya sedih dan jujur memang tiada siapa hubungi untuk beri tawaran berlakon tetapi perlu reda mungkin rezeki saya sekarang pada perniagaan.
Dalam pada itu, Mak Wan memohon agar penerbit dan syarikat produksi memberi peluang kepada dirinya untuk terus berada dalam dunia lakonan.
Saya harap penerbit kasihanilah saya dan berikanlah saya peluang berlakon. Memang kita ini tidak sempurna, ada masa kita tak berapa okay. Tapi jujur saya perlukan kerja, sekurang-kurangnya saya tidak penat berniaga, kalau hujan saya tak perlu angkat sambal saya.
Terdahulu, nama Mak Wan hangat diperkatakan apabila bekas suaminya, Husain Dolah mendedahkan punca penceraian pada April 2022 disebabkan bekas isterinya tidak mempunyai akhlak tidak baik.
Tidak habis di situ apabila bekas pembantu peribadinya pula tampil mendedahkan pelakon itu melakukan perbuatan syirik menerusi beberapa video yang dikongsi dalam aplikasi TikTok.
Selain itu, tular video memaparkan gelagat Mak Wan berkaraoke ketika dalam tempoh idah di media sosial.