11 konsesi lebuh raya mula laksana bayar tol terbuka, tidak lagi hanya Touch n Go

11 konsesi lebuh raya mula laksana bayar tol terbuka, tidak lagi hanya Touch n Go

 

Sebanyak 11 syarikat konsesi lebuh raya di negara ini secara rasmi melaksanakan Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT), bermula hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pelaksanaan itu akan memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna lebuh raya untuk membuat pembayaran tol.

“Saya bangga kerana Lembaga Lebuhraya (LLM) dapat tepati janji supaya 11 syarikat konsesi ini untuk membuka sekurang-kurangnya satu lorong SPT.

“Kini pengguna lebuh raya tidak terhad kepada pembayaran Touch n Go, Smart Tag dan RFID namun turut diberi pilihan untuk membuat bayaran dengan kad kredit dan debit.

“Kalau terhad kepada satu sistem sahaja mungkin kadang kala terdapat kekurangan baki dan ia akan memberi masalah.

“Jadi, apa yang dilakukan ini adalah salah satu perancangan untuk kita melaksanakan Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan sistem SPT di Plaza Tol Loke Yew, Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), di sini hari ini.

Selain BESRAYA, syarikat konsesi lain yang turut melaksanakan sistem SPT ialah Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP).

Turut dilaksanakan ialah di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX), Lebuhrava Duta – Ulu Kelang (DUKE); dan Lebuhrava Kulim – Butterworth (BKE).

Setakat ini, sebanyak 12 syarikat konsesi bersetuju melaksanakan SPT namun di Jabatan Pulau Pinang ia dijangka bermula pada penghujung tahun ini bagi membolehkan penelitian dan perincian lanjut dibuat oleh syarikat konsesi.