Netizen luah rasa sebak nampak satu keluarga jalan kaki hantar anak masuk universiti
Setiap tahun, Institut Pengajian Tinggi (IPT) bakal menyambut kehadiran mahasiwa dan mahasiwi dari seluruh negara mahupun luar negara.
Lebih menggembirakan lagi, sekiranya menyaksikan anak kita juga tergolong dalam sesi pendaftaran di menara gading yang menjadi impian buat para ibu bapa.
Meskipun kadangkala terpaksa menempuh perjalanan penuh liku, setiap langkah menuju ke puncak menara gading itu diisi dengan harapan dan doa ahli keluarga.
Hari ini pula, tular satu rakaman memaparkan sebuah keluarga berjalan kaki memasuki pintu gerbang Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sewaktu hari pendaftaran semalam.
Menerusi video yang dimuat naik @umpsamalaysia di TikTok, dikala yang lain datang selesa dengan berkereta, keluarga itu sebaliknya kelihatan berjalan kaki di bawah terik matahari sambil membawa beberapa beg termasuk bagasi.
Menurut pemilik video, pada awalnya, pihaknya menyangka kenderaan yang dinaiki dipercayai rosak.
Pun begitu, difahamkam keluarga berkenaan datang dari Sarawak sebelum menaiki bas sebagai alternatif ke UMPSA.
Susulan kegigihan ahli keluarga berkenaan, pihak universiti menyediakan sebuah kenderaan untuk membawa kesemua beg dan bagasi mereka itu ke kampus.
“Dari jauh nampak satu family, ni jalan kaki tengah-tengah panas ingatkan kereta rosak. Sedihnya tengok panas-panas ni jalan kaki tolak beg disaat yang lain naik kereta.
“Bila ditanya, katanya mereka datang dari Sarawak naik bas nak hantar anak masuk UMPSA.
“Pihak UMPSA bergegas carikan kereta untuk mereka ke dalam kampus. Hebatnya kasih ayah dan ibu teman anak masuk universiti,” tulis video berkenaan.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata tersentuh hati melihat pengorbanan keluarga berkenaan yang datang dari Sarawak dan sanggup berjalan kaki masuk ke universiti.
Sebahagian netizen mendoakan agar segala urusan ahli keluarga berkenaan dipermudahkan. Bukan itu sahaja, tindakan pihak universiti turut mendapat pujian ramai.
Tambah warganet, segelintir mereka turut menceritakan pengalaman dan kesusahan sewaktu pertama kali hadir untuk sesi pendaftaran di IPT masing-masing.
Untuk makluman, video ini mendapat lebih 400,000 tontonan dengan lebih 30,000 tanda ‘Suka’ dan pelbagai komen.
@