“Aku salam Dani dan minta ampun sekiranya ada dosa selama bergelar isteri dia, Dani cakap, tiada sekelumit dosa pun, dia juga minta maaf sebab tak mampu cintakan aku sepenuhnya, Dani minta maaf sambil genggam, cium dan menangis di tangan aku, masa itu aku terkaku”
Seorang wanita tidak menyangka bahawa rasa kasih sayang yang terlalu besar buat insan bergelar suami boleh menjadi punca keretakan rumah tangganya.
Menamatkan zaman bujang bersama lelaki yang diidamkannya, wanita bernama Lyn itu cukup bahagia melayari bahtera perkahwinannya dengan suami.
Namun semuanya berubah setelah lelaki pujaannya itu bertemu semula dengan bekas tunangnya dan memutuskan untuk berkahwin lagi sekali dengan wanita tersebut.
Cinta tidak seharusnya memiliki, berikut perkongsian Lyn yang membuat keputusan untuk bercerai walaupun suaminya tidak berubah selepas beristeri dua.
“Usia aku menjangkau 30-an, baru bercerai sekitar bulan Jun lalu. Kahwin pada umur aku 20-an. Nama bekas suami aku Dani. Aku berjumpa Dani masa praktikal. Lepas praktikal aku diserap masuk di syarikat yang sama. Sampai sekarang, aku dan Dani masih bekerja dalam syarikat itu, cuma berbeza tingkat dan jabatan.
“Dani tiga tahun lebih tua dari aku. Kami kongsi perasaan sama ketika berhubungan. Dia suka aku, aku suka dia. Selepas beberapa bulan kenal, dia ajak aku kahwin. Masa berkenalan, Dani ada sebut yang dia pernah bertunang dan putus. Bekas tunangnya bernama Ameera. Dani dan Ameera kenal dari kecil.
“Mereka bercinta dari sekolah rendah. Sekolah menengah mereka berdua bertunang dan putus masa tahun terakhir di universiti. Sebabnya Ameera dikahwinkan dengan seorang ustaz. Masa ini, hanya perkara itu sahaja yang aku tahu pasal Ameera. Oleh kerana Ameera pun sudah berkahwin, aku tak soal Dani lebih-lebih.
“Jadi aku dan Dani berkahwin. Dani memang lelaki yang baik. Jaga solat, baca al-Quran hampir setiap hari. Setiap bulan bagi nafkah dan buat kerja rumah bersama. Memang bertanggungjawablah kira. Masa aku masuk hospital sebab appendiks, dia jaga siang dan malam. Rumah tangga kami pun bahagia.
“Kami tak banyak masalah walaupun belum dikurniakan anak. Kami jarang gaduh. Kalau gaduh sekalipun hanya berlaku salah faham sedikit. Sejujurnya, memang aku sayang dan cintakan Dani sangat-sangat. Dia lelaki yang aku idamkan selama ini. Secara fizikal, dia memang kacak. Sedangkan aku ini biasa-biasa sahaja.
“Dani ada chinese-look, kulit putih, tinggi, cergas dan memiliki rambut panjang yang diikat rapi. Rambut dia sangat cantik, kalah aku yang wanita ini. Kisah aku bermula selepas beberapa tahun berkahwin. Ameera muncul semula dalam hidup kami. Ameera kerja di kawasan berdekatan dengan tempat kerja aku dan Dani.
“Dani terserempak dengan Ameera masa keluar makan tengahari. Kami memang tak makan sekali sebab masing-masing ada geng sendiri di pejabat. Bila terjumpa Ameera, terus Dani tegur dan bertukar nombor. Aku tahu, sebab Dani yang cerita sendiri selepas balik kerja pada hari yang sama.
“Aku dan Dani memang selalu berkomunikasi. Sebelum tidur akan bercerita tentang apa yang kami lalui setiap hari. Kalau difikirkan balik, hubungan aku dan Dani sangat sihat. Tetapi jodoh masih juga tidak panjang. Bermula daripada hari itu, Dani selalu hantar pesanan mesej pada Ameera. Aku baca semua mesej mereka berdua.
“Rupanya Ameera sudah diceraikan, sebab itu dia bekerja. Sebelum ini Ameera cuma duduk di rumah. Suami tak izin bekerja. Ameera diceraikan selepas suaminya terjebak dengan satu kesatuan. Sebabnya, Ameera enggan menyertai kesatuan itu. Ameera sudah ada tiga orang anak. Semua anak ikut Ameera selepas berpisah.
“Ameera sangat pandai dalam pelajaran. Sebab itu senang dapat kerja lepas cerai. Tambah pula dengan muka dia yang manis sangat. Sumpah cantik. Jika nak banding dengan aku ibarat tong sampah dengan bunga. Walaupun anak tiga, masih kekal persis anak dara. Ameera jenis perempuan melayu terakhir.
“Perwatakan lembut, selalu senyum dan berbadan kecil. Patutlah Dani sayang dia. Selepas sekitar enam bulan Dani jumpa Ameera, dia membuat keputusan untuk memperisterikan Ameera. Masa itu, aku tahu semua pasal mereka berdua sebab Dani ceritakan semuanya. Keluar makan dan mesej setiap hari kecuali masa Dani di rumah.
“Sebagai isteri, aku rasa murung sangat. Dalam pada Dani dating dengan Ameera, aku dapat terima sebab dia jujur sangat. Tak pernah Dani tipu aku. Bahkan dari awal terjumpa Ameera, Dani mengaku yang dia tak pernah lupakan wanita itu. Ayat dia, ‘tiada satu hari pun yang berlalu tanpa saya tidak memikirkan dia’.
“Bila disoal kenapa dia kahwin dengan aku, Dani jawab sebab nak move-on. Aku terdiam, tak tahu nak cakap apa. Bila ditanya sama ada dia sayang aku atau tak, Dani cakap memang sayang. Sebabnya aku isteri dia. Tetapi yang betul-betul dia cintakan adalah Ameera.
“Masa ini macam-macam cara dibuat untuk Dani cintakan aku. Aku cantikkan diri, layan dia betul-betul. Siap beli buku cara memikat suami dan aplikasikan segala benda yang aku baca serta cari gali dari Internet. Aku kejutkan dia dengan bulan madu, hari jadi dan macam-macam lagi.
“Aku berubah jadi diri sendiri dengan bayangan Ameera. Aku solat, doa sungguh-sungguh agar Dani sayang dan cintakan aku lebih dari Ameera. Tetapi Dani macam itu juga. Seolah-olah usaha aku selama ini sia-sia. Jujurnya, walaupun hangat bercinta dengan Ameera, tak pernah kurang sedikit pun layanan Dani dekat aku.
“Masih bertanggungjawab seperti selalu. Layan tengok wayang setiap hari minggu dan masih jalan berpegangan tangan. Walaupun macam itu, aku tahu hanya jasad dia dengan aku. Hati, dengan Ameera. Dani masih baik di mata aku. Langsung tak sakitkan hati aku. Sebab itu aku izinkan dia kahwin dengan Ameera.
“Keputusan itu dibuat setelah aku puas berusaha memikat Dani. Masa itu, sudah setahun sejak mereka berjumpa semula. Masa mereka nikah, aku ada sekali. Cuma masa sanding aku tak ikut sebab majlis dibuat di sebelah perempuan. Malas nak pergi. Jadi bermulalah kehidupan aku bermadu.
“Giliran kami seminggu sekali. Seminggu di rumah aku, seminggu di rumah Ameera. Kami tinggal di apartment berdekatan, boleh berjalan kaki. Sebelum mereka kahwin, sudah siap pesan yang aku tak nak berkenalan dengan Ameera. Aku baik dengan dia, cuma tak mahu rapat macam isteri-isteri Ashraf Muslim itu.
“Cukuplah sekadar tengok dari jauh. Sebab aku jadi murung bila nampak Ameera. Sempurna, bagai langit dengan bumi jika dibandingkan dengan aku. Cemburu? Mungkin. Dani memang berlaku adil. Tetapi aku tetap rasa tak seronok. Rasa memberontak. Aku asyik cari pasal dengan Dani. Mungkin aku nak perhatian dia.
“Dani layan aku macam biasa. Tetapi hati masih tak tenteram. Rasa macam melukut di tepi gantang. Aku rasa macam orang ketiga dalam hubungan Dani dan Ameera. Aku dengan Dani macam tak sehaluan. Rasa macam tergantung. Penuh, tapi kosong. Faham tak apa aku cuba sampaikan? Sebab itu aku pilih untuk undur diri.
“Dani minta aku fikir sedalam-dalamnya. Aku tak mampu nak bendung perasan. Aku pilih untuk korbankan perasaan sendiri supaya Dani boleh bahagia dengan Ameera. Betul kata orang, sayang tak semestinya memiliki. Aku reda. Pada malam terakhir kami berbincang dalam bilik, tiada satu pun air mata aku terjatuh depan Dani.
“Aku salam Dani dan minta ampun sekiranya ada dosa selama bergelar isteri dia. Dani cakap, tiada sekelumit dosa pun. Dia juga minta maaf sebab tak mampu cintakan aku sepenuhnya. Dani minta maaf sambil gengam, cium dan menangis di tangan aku. Masa itu aku terkaku.
“Sebab baru perasan, masa itulah kali pertama aku tengok Dani menangis. Dia cium dahi aku, bagi salam, kemudian keluar dari rumah. Saat tak dengar lagi kaki dia melangkah, terus aku peluk diri sendiri. Aku tekapkan bantal pada muka dan jerit, menangis semahunya. Harapan aku masa ini supaya Dani patah balik.
“Tengok sayang, saya tengah sakit. Datang balik dan pilih aku semula. Terima dan cakap yang kau sayang aku bukan Ameera. Tolong sayangkan aku, bukan dia. Tetapi apakan daya, aku kalah. Dani tak pernah kembali. Waktu itu aku haid, nak solat dan sentuh al-Quran pun tak boleh. Selama tiga hari aku menangis. Tak makan, minum sahaja.
“Sampai ibu bapa aku datang rumah. Aku longlai, busuk tiga hari tak mandi. Baring macam orang gila atas katil. Mak mandikan aku. Setiap kali dia halakan paip kat aku, terkumat-kamit mak berselawat dengan suara terketar-ketar menahan tangisan. Aku rasa jiwa mak hancur tengok penderitaan satu-satunya anak perempuan dia.
“Mereka bawa aku balik kampung. Abang-abang kemaskan rumah aku dan carikan rumah sewa baru. Pindahkan aku ke rumah lain supaya dapat move-on. Sebulan aku cuti, tinggal dengan mak bapak. Dalam masa sebulan itu juga penceraian aku disahkan. Hari pertama masuk kerja, aku kuatkan diri. Memang berat langkah aku.
“Seminggu berlalu tanpa bayangan Dani. Setiap kali sampai pejabat, aku melalui tapak parkir keretanya. Menatap kereta milik Dani sudah cukup buat aku tersenyum. Teringat masa aku duduk di kerusi penumpang sebelah Dani. Dia sentiasa serius masa memandu. Bahaya jika terleka katanya.
“Selalu aku ditegur jika tidak memakai tali pinggang. Kadang-kadang sengaja aku tak pakai, mahu bermanja apabila ditegur. Hari Isnin menjelma. Hari yang paling aku tunggu. Setiap Isnin pejabat akan mengadakan perhimpunan pagi. Dani sebagai ketua jabatan akan berada di hadapan. Isnin itu aku awal ke perhimpunan.
“Dari tempat berdiri, aku kaku memandang Dani. Sebulan lebih tak berjumpa, rasa nak lari dan peluk Dani seeratnya. Rindu sangat. Dani terpandang aku, senyum. Aku pandang tempat lain. Senyuman manis itu tak sangup aku balas. Sebab aku perlu melindungi diri aku sendiri. Melindungi perasaan aku.
“Selepas perhimpunan, aku buat status Whatsapp buat kali pertama, ‘AKU PERLU KUAT’. Seminit selepas itu, Dani membalas, ‘Semoga Allah permudahkan urusan’. Aku kaku lagi, berdebar jantung, berkaca mata dengan tangisan sendiri. Kenapa perlu balas? Faham tak kau dah menggangu perasaan aku? Aku benci, tetapi pada masa yang sama terharu. Sebab Dani masih ambil berat pasal aku.
“Aku balas, terima kasih. Harap sangat Dani balas lagi sebab nak main mesej macam dulu. Aku rindu sangat-sangat. Menitik lagi air mata aku. Hancur mood aku sepanjang hari. Mulai hari itu, hari-hari aku buat status Whatsapp. Selalu aku tunggu Dani online. Bila dia online, terus aku buat status.
“Bila Dani tengok, rasa berbunga hati. Aku hanya gunakan Whatsapp untuk menagih perhatian Dani. Walaupun dia cuma tengok status, tetapi cukup buat aku gembira. Dari bulan 7 sampai hari ini, itulah rutin aku setiap hari. Buat status, tunggu Dani tengok. Gembira bila Dani tengok, tak keruan kalau dia online tetapi tak tengok.
“Mula-mula dia selalu balas, sekarang langsung tak balas. Sekadar tengok. Aku pun tak tahu kenapa. Bosan agaknya. Aku sedar ini menyedihkan. Tetapi itu sahaja cara untuk aku rasa macam dia beri perhatian. Hingga pada saat ini, aku masih tunggu perhimpunan Isnin untuk tatap wajah Dani walau untuk 15 minit.
“Setiap kali melalui tingkat 5 iaitu pejabat Dani, aku mengharap lif terbuka dan dia berdiri di pintu. Setiap kali melalui kereta Dani, aku mengharap untuk pulang dengan dia. Tetapi semua pengharapan yang kosong. Hidup aku menyedihkan, aku sedar. Aku masih mengumpulkan kekuatan untuk lupakan Dani.
“Aku sudah minta pindah ke cawangan lain. Aku sayang nak tinggal kawan-kawan sepejabat yang baik sangat. Tetapi aku perlu lakukan juga untuk lindungi diri sendiri. Aku kena lupakan Dani untuk terus maju ke depan. Insya-Allah, bulan depan aku pindah ke cawangan yang lebih dekat dengan kampung.
“Pada saat ini, aku cuma mengharap yang baik-baik sahaja. Muhammad Daniel, maafkan aku. Tetapi aku sangat sayang dan cintakan kau. Sekali lagi maafkan aku.” Luah Lyn menerusi satu hantaran di laman luahan hati di atas talian.