Tingkat bekalan beras, Mat Sabu akhirnya umum 4 langkah intervensi

Tingkat bekalan beras, Mat Sabu akhirnya umum 4 langkah intervensi

 

Kerajaan hari ini mengumumkan 4 langkah intervensi tambahan bagi menjamin bekalan beras putih tempatan (BPT) tidak akan terganggu dan rakyat mampu memperolehinya di pasaran.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, disebabkan kekurangan beras di pasaran global selepas 19 negara pengeluar mengurangkan bekalan termasuk India yang mengenakan sekatan eksport sejak Julai 2023, maka kerajaan bersetuju melakukan campurtangan lebih serius dalam pasaran beras negara.

“Pada 20 September 2023 saya telah lancarkan Program Khas Beras Putih Tempatan. Setakat semalam lebih 600,000 kampit BPT 10kg telah diedarkan di seluruh Semenanjung melalui beberapa pasaraya, FAMA dan LPP.

“Manakala hari ini, hasil pertemuan saya bersama Perdana Menteri pada pagi tadi, PM telah bersetuju untuk melaksanakan 4 langkah intervensi tambahan,” katanya dalam ucapan di Tyatt Hotel, Kuala Lumpur, tengah hari tadi.

Langkah intevensi tabahan itu, kata Mohamad, membabitkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang akan meningkatkan pengedaran BPT ke seluruh negara dan bukan lagi terhad menjual BPT di outlet mereka sahaja.

“Pertama, FAMA telah diarahkan untuk meningkatkan pengedaran BPT ke kawasan luar bandar termasuk ke kedai kedai runcit. Oleh kerana margin jualan BPT hanya 50 sen bagi kampit 10kg, maka Kerajaan akan menyalurkan kos pengangkutan kepada pihak FAMA.

“Kedua, dalam konteks Sabah dan Sarawak, Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan subsidi sebanyak RM950 per metrik tan Beras Putih Import (BPI) mulai 5 Oktober 2023.

“Melalui kaedah ini, harga runcit BPI di kedua-dua negeri ini akan menjadi RM31 bagi kampit 10kg. Langkah ini diambil memandangkan pengeluaran BPT di Sabah dan Sarawak adalah terhad,” katanya.

Sementara itu, langkah ketiga, kata Ahli Parlimen Kota Raja itu adalah memastikan semua perolehan pembekalan beras putih di bawah kontrak Kerajaan akan menggunakan beras import di mana pembekal boleh mendapatkan bekalan pada harga borong RM3,200 (harga pintu gudang) dan ianya tertakluk kepada syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Langkah keempat, katanya, membabitkan Ops Bersepadu BPT yang melibatkan Badan Kawal Selia Padi & Beras KPKM, Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

“Ops Bersepadu ini akan diketuai oleh Tuan Chan Foon Hin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Melalui

Ops Bersepadu ini, kita akan membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas rantaian industri termasuk semua kilang kilang beras dan stor-stor pemborong beras mulai esok.

“Sampel beras juga akan diambil di semua kilang beras, di gudang-gudang pemborong dan juga di pasaraya untuk dibuat analisis kimia.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa pihak Kerajaan akan mengambil tindakan yang tegas ke atas mana-mana pihak

yang didapati menukar kampit atau mencampurkan BPT dengan BPI atau menyorokkan BPT,” katanya.

Mohamad turut menasihatkan oleh ramai supaya bertenang dan membeli beras mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Badrul Hisham Mohd, Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi KPKM merangkap Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmod; Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi), Bahagian Penguat Kuasa KPDN, YBrs. Tuan Shamsul Nizam bin Khalil dan Ketua Penolong Pengarah E5 Bukit Aman, YBrs. SAC Datin Seri Dato Zalena.