Budak pengsan lepas telan ubat ‘expired’
Seperti produk makanan dan minuman, ubat juga mempunyai tarikh luputnya. Malah Kementerian Kesihatan Malaysia juga melarang untuk menyimpan ubat yang sudah rosak, hilang label dan tamat tempoh.
Tapi bagi sesetengah orang, ada yang menyimpan ubatan ini untuk kegunaan masa akan datang sehingga terlupa melihat tarikh luputnya.
Seorang ibu berkongsi detik cemas apabila anaknya mengalami pengsan selepas makan ubat paracetamol yang dipercayai sudah tamat tempoh.
Menerusi perkongsian di TikTok, wanita itu menyatakan situasi cemas bermula selepas anaknya pulang dari sekolah dan mengadu demam.
“Dia ni jenis susah makan ubat. Memang stress, tapi dia makan juga bila dipaksa,” katanya.
Namun, anaknya kemudian mengadu sakit dada dan ingin muntah selepas mengambil ubat tersebut.
Pada awalnya, si ibu seperti tidak mengendahkan aduan anak kerana menyangka dia sengaja berkelakuan begitu kerana mahukan perhatian.
Pun begitu, anaknya mula menjerit kesakitan dan dilihat mulutnya sudah bengkak dan muka penuh ruam.
“Dia lembik, tak larat dan terus tumbang. Saya angkat dia ke katil dan terus muntah banyak.
“Lepas tu dia batuk dan mulut berbuih. Saya panggil dia, tepuk-tepuk muka dia… tapi dia tak sedar, pengsan,” ujarnya.
Maklumnya, dia dan suami terus bergegas ke bahagian kecemasan hospital dan mendapati tahap oksigen anaknya telah turun.
“Tak dapat bayangkan kalau kami lambat ke hospital. Selepas kakak sedar, terus minta maaf sebab tak percaya dia sakit masa tu,” luahnya.
Difahamkan, anaknya sudah pulih dan dia sudah membuang ubat-ubatan yang tamat tempoh. Katanya, perkongsian itu untuk memberi peringatan kepada semua supaya melihat tarikh luput ubat.
Sementara itu, ada juga menyarankan si ibu membuat ujian alergik untuk anaknya supaya lebih berhati-hati selepas insiden itu.