3 hari alat kelamin menegak, lelaki 46 tahun terpaksa dimasukkan ke wad gara-gara pil perangsang
Seorang lelaki terpaksa menanggung malu apabila dia dimasukkan ke hospital selepas mengalami ereksi berlanjutan selama tiga hari.
Difahamkan, lelaki berusia 46 tahun itu terdahulu menelan beberapa pil perangsang sekali secara serentak yang menyebabkan alat kelaminnya menegang untuk tempoh yang lama.
Selepas tiga hari mencuba menyelesaikan masalah itu sendiri, lelaki berkenaan gagal mengendurkan ketegangan itu dan akhirnya tampil mendapatkan bantuan daripada pihak hospital.
Lelaki itu kemudian dimasukkan ke wad di sebuah hospital awam di Joao Pessoa, timur laut Brazil, untuk diberi rawatan dan pemantauan lanjut.
Setelah menjalani pemeriksaan awal, pegawai perubatan memindahkan pesakit itu ke Hospital Trauma di bandar yang sama pada Ahad lalu, 15 Oktober 2023.
Di hospital tersebut, pakar bedah membuat tusukan pada pangkal zakarnya untuk mengendurkan organ itu. Selepas keadaannya stabil, lelaki berkenaan dibenarkan pulang kira-kira jam 5 pagi, Isnin, 16 Oktober 2023.
Pakar Urologi, Andre Brasileiro berkata, “Seperti mana-mana ubat, ia perlu digunakan dengan bimbingan pegawai perubatan.
“Dos berlebihan yang diambil menyebabkan pesakit mengalai priapisme aliran rendah, di mana darah kekal di bahagian ereksi dan tidak dapat mengalir ke tempat lain.
“Penggunaan dos yang tinggi daripada biasa, kelonggaran berlaku secara berlebihan dan darah yang memasuki ke bahagian berkenaan tidak kembali ke peredaran menyebabkan ereksi tersebut kekal. Lama kelamaan ia menjadi sangat menyakitkan,” katanya.
Tambahnya, pil sedemikian juga boleh menyebabkan kesan sampingan seperti sakit kepala, loya, senak, hidung tersumbat dan rasa pening.