Buktikan Iskandar Dzulkarnain diugut agar sokong kerajaan, Anwar bidas Hamzah
Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin atas dakwaannya bahawa Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid diugut agar menyokong kerajaan.
Anwar berkata ia merupakan satu dakwaan serius dan Hamzah seharusnya mengemukakan bukti berkaitan kepada pihak berkuasa.
“Kalau ada bukti, dia patut keluarkan (bukti). Jangan pakai bebal saja.
“Kalau ada (bukti), ini satu tuduhan yang serius. Dia patut buat laporan agar ada siasatan,” katanya memetik Malaysiakini.
Terdahulu, Iskandar yang merupakan ahli parlimen Bersatu mengumumkan sokongannya terhadap Anwar namun pada masa sama kekal bersama PN.
Hamzah kemudian mendakwa SPRM telah mengugut Iskandar agar berbuat demikian jika tidak ingin dihadapkan dengan pertuduhan rasuah di mahkamah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai usaha untuk mencemarkan imej suruhanjaya itu.
Dalam pada itu, Anwar turut menafikan dia ada menghubungi Iskandar atau menghantar wakil untuk bertemu dengannya.
“Apa yang saya tahu, saya belum jumpa (Iskandar), belum hubungi atau hantar wakil (untuk berjumpa).
“Saya tak tahu siapa yang ugut (seperti didakwa),” katanya lagi.
Namun, Anwar berkata dia mengalu-alukan keputusan Iskandar untuk menyokong kepimpinannya walau kekal bersama PN.