Lepas ditegur bekas suami, Shuhada ‘balas dendam’ kongsi foto didukung seorang lelaki
Bekas isteri pelakon, Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada kembali menyita perhatian selepas berkongsi gambar dirinya didukung oleh seorang lelaki.
Hal ini berikutan perkongsiannya sebelum ini menerima kecaman selain amaran daripada Hafidz kerana menggunakan gambar lama ketika mereka masih bersama.
Bertujuan untuk mempromosikan produk menguruskan badan, Shuhada kali ini memuat naik gambar yang memaparkan dirinya didukung oleh abang kandungnya pula.
Namun begitu, wanita berusia 29 tahun itu turut berkongsi gambar didukung oleh Hafidz tetapi wajah dan badan bekas suaminya telah disunting terlebih dahulu.
Mahu menunjukkan perubahan bentuk dan berat badan, Shuhada ‘pose’ dengan gaya sama selain mengenakan baju yang mempunyai reka bentuk serupa.
“Kalau macam ini okay tak? Siap terapung. Baju sama, orang yang sama. Tetapi berat sahaja yang berbeza. Dahulu kalau dukung kushh semangat.
“Bila sudah hampir 10 bulan makan produk, orang yang dukung Shu itu tenang betul muka dia. Notis, ini satu-satunya abang saya dunia akhirat,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna media sosial terhibur dengan perkongsian Shuhada itu dan meninggalkan komen yang mencuit hati.
Akan tetapi, ramai juga peminat yang memberikan cadangan agar Shuhada berhenti berkongsi gambar didukung itu supaya dapat menghindarkan diri daripada difitnah.
“Gambar jika mendatangkan fitnah, baik jangan buatlah. Kita orang Islam, ada agama. Haram, berdosa dan salah di sisi Allah,” kongsi seorang peminat.
“Cari gambar masa gemuk yang lainlah Shu. Tak seronok tengok gambar yang didukung macam ini.” Kata peminat lain yang prihatin dengan ibu tunggal tersebut.
Terdahulu, pemilik nama sebenar Nurul Shuhada Mat Shukri itu dikecam orang ramai apabila berkongsi foto dirinya didukung oleh seorang lelaki dipercayai Hafidz Roshdi.
Hafidz Roshdi kemudian tampil menegur tindakan bekas isterinya itu dan menuntut agar foto itu segera ditukar atau dipadam jika tidak mahu dikenakan tindakan lanjut.
Susulan itu, Shuhada menjelaskan bahawa perkongsian tersebut disusun oleh pihak pemasaran dan dia tidak terlibat dengan jalan cerita serta ‘content’ yang digunakan.