Bezza kini model paling laku di Malaysia

Bezza kini model paling laku di Malaysia

 

Perodua mengumumkan bahawa sehingga September tahun ini ia telahpun berjaya mencatatkan jualan tahunan sebanyak 233,227 unit, atau naik 18.8% berbanding tempoh sama tahun lalu. Dari jumlah berkenaan, sebanyak 88,537 unit adalah dicatatkan dalam suku ketiga sahaja, naik 28.3% berbanding 69,011 unit yang dicatatkan dalam suku sama pada 2022.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, Perodua telah mendaftar 28,995 unit kenderaan pada bulan September 2023, kenaikan sebanyak 17.7% daripada 24,626 pada September 2022.

Menurut Perodua peningkatan jualan ini disumbangkan oleh kecekapan operasi pengilangan yang lebih baik, dimana 91,528 unit kenderaan berjaya diproduksi pada suku ketiga tahun ini, naik 21.7% berbanding 75,196 unit pada suku sama tahun lalu.

Untuk September 2023 sahaja Perodua telah menghasilkan sebanyak 31,447 kenderaan, peningkatan sebanyak 8.2% daripada 29,077 unit pada September tahun lalu.

“Suku ketiga 2023 menjadi titik mula bagi Perodua untuk meningkatkan pengeluaran bulanan melebihi 30,000 unit setiap bulan memandangkan kapasiti bekalan bahan mentah dan alat ganti yang mencukupi bagi memenuhi permintaan,” kata Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Secara keseluruhan Perodua telah memproduksi sejumlah 245,341 unit kenderaan sehingga September lalu atau peningkatan sebanyak 18.6% daripada 206,837 unit dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Peningkatan pengeluaran ini menunjukkan potensi ekosistem automotif Malaysia berikutan penambahbaikan dalam skala ekonomi mereka tanpa berkompromi terhadap aspek kecekapan kos dan kualiti,” katanya lagi dan menambah jangkaan jualan dan pengeluaran Perodua pada suku keempat tahun ini dijangka menjadi yang tertinggi dalam sejarah syarikat.

“Kami juga terus komited untuk mengurangkan tempoh menunggu pelanggan kami. Kami yakin bermula Januari 2024 ke atas, tempoh menunggu akan dapat diuruskan dengan lebih baik,” katanya.

Daripada 233,227 unit yang telah didaftarkan itu, Bezza menjadi model paling laris Perodua dengan jualan 65,158 unit hanya dalam suku ketiga 2023. Ini menjadikan Bezza bukan hanya juara dalam kelas sedan segmen-A menewaskan Proton Saga, malah ia kini merupakan kereta paling laris di Malaysia sehingga September 2023, naik 41.3% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu!

Ia diikuti dengan Axia yang ketinggalah 14 ribu unit di belakang, manakala ‘king’ Myvi kini hanya merupakan model ketiga terlaris Perodua.

“Perkembangan positif ini telah membantu Perodua menambahbaik kapasiti pengeluaran kami dan memendekkan tempoh penghantaran kenderaan kepada pelanggan yang kami hargai. Kami juga masih di dalam landasan untuk mencapai sasaran pendaftaran sebanyak 314,000 unit tahun ini,” kata Dato’ Sri Zainal.

Awal minggu ini Hong Leong Investment Bank Research ada menerbitkan laporan yang menyatakan bahawa Proton bakal memintas kedudukan Perodua sebagai jenama automotif nombor 1 di Malaysia dengan jangkaan jualan mencecah 310,000 unit menjelang 2030 dan 500,000 unit pada 2035.

Namun dengan prestasi jualan yang ditunjukkan oleh Perodua pada suku ke-3 tahun ini boleh dijangka ia bakal mencapai sasaran jualan berjumlah 314,000 untuk tahun ini yang berbaki lagi tiga bulan, 4,000 unit lebih banyak dari apa yang disasarkan Proton pada 2030. Mungkin Proton perlu membuat sasaran lebih tinggi untuk berada kembali di tangga teratas?