Terpotong isi telinga hingga terputus, pelakon Thai mahu saman tukang gunting rambut

Terpotong isi telinga hingga terputus, pelakon Thai mahu saman tukang gunting rambut

 

Seorang pelakon terkenal Thailand berdepan dengan detik cemas apabila sebahagian isi telinga kanannya terputus akibat terpotong ketika menggunting rambut, lapor The Thaiger.

Ekoran itu, Natthapong “Oatmeal” Kanthathan kini merancang untuk menfailkan saman terhadap tukang rambut berkenaan.

Perkara berkenaan dikongsikan oleh Natthapong sendiri melalui akaun TikToknya pada 5 November lepas.

Difahamkan, kejadian berkenaan berlaku ketika Natthapong mendapatkan perkhidmatan memotong rambut daripada sebuah kedai gunting rambut di Thong Lor, Bangkok, pada 28 September lepas.

Menerusi akaun TikToknya (@o.atx), pelakon yang berusia 26 tahun itu menjelaskan sudah menjadi rutin untuk beliau menggunting rambut di kedai berkenaan.

Malah, kedai berkenaan juga turut menjadi pilihan kebanyak selebiriti Thai terutamanya yang berada di bawah pengurusan Mflow Entertainment.

Pelakon Thai nak saman tukang gunting rambut, terpotong isi telinga

Katanya lagi, mereka memilih perkhidmatan memotong rambut di kedai tersebut kerana kedai tersebut dimiliki oleh salah seorang promoter syarikat pengurusan berkenaan.

Menurut Nattaphong, pada hari kejadian, dia singgah di kedai berkenaan bersama rakan sekerja untuk mendapat perkhidmatan menggunting rambut seperti biasa.

Ketika mendapat perkhidmatan gunting rambut di sana, tukang gunting rambut itu telah terpotong sebahagian isi daripada telinga kanannya.

Natthapong turut menambah, sebelum kejadian itu berlaku, dia menyedari tukang gunting rambut berkenaan kelihatan sedikit mengantuk dan tidak fokus dengan kerjanya.

Susulan itu, beliau telah dikejarkan ke hospital dan menerima tujuh jahitan disebabkan kecederaan terbabit.

Tukang gunting rambut enggan membayar pampasan kepada pelakon Thai tersebut

Dalam hantarannya, Nattaphong berkata bahawa tukang gunting rambut itu telah membayar kos perubatan bernilai 15,375 baht (RM2,019.13).

Selain itu, tukang gunting berkenaan turut memberikan sebanyak 1,500 baht (RM196.99) sebagai bayaran insurans kesihatannya.

Bagaimanapun, kedai berkenaan didakwa enggan bertanggungjawab lebih lanjut dan tidak menawarkan sebarang bayaran pampasan di atas insiden berkenaan.

Katanya lagi, ekoran kejadian malang berkenaan, dia hilang pendapatan selepas terpaksa menolak tawaran berlakon kerana kecederaan itu memerlukan masa untuk pulih.