Muhjahid yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak berkata demikian ketika ditanya mengenai sama ada akan berlaku keretakan serta perpecahan dalam AMANAH susulan adanya beberapa laporan berita menyatakan Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu mungkin tidak akan kembali dipilih menerajui parti itu selepas pemilihan parti bulan ini.
Pada 17 November lalu, Mujahid dilaporkan berkata beliau sedia memikul tanggungjawab lebih besar sekiranya tersenarai lima yang menerima sokongan tertinggi dalam pemilihan Jawatankuasa Nasional AMANAH bagi sesi 2023-2026.
Sebuah portal yang memetik sumber turut melaporkan bahawa ada pemimpin utama AMANAH tidak menafikan terdapat kelompok tertentu sedang mengatur gerakan menukarkan kepimpinan Mohamad kepada teraju baharu diketuai Mujahid pada pemilihan parti akan datang.
Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Hasbie Muda mengesahkan terdapat pertembungan dua kumpulan penyokong parti yang cuba mendesak sama ada Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dilantik sebagai Penasihat AMANAH atau kekal menerajui parti bagi tempoh sekurang-kurangnya sepenggal lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Mujahid yang juga Ahli Dewan Negara itu berkata, Ahli AMANAH serta Barisan Nasional (BN) di peringkat akar umbi dilihat masih ‘malu-malu kucing’ memandangkan belum dapat menyesuaikan diri satu sama lain walaupun sudah setahun menjalinkan kerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, bagaimanapun hal itu berlainan dengan kepimpinan tertinggi dua parti berkenaan sama ada di peringkat pusat mahupun negeri yang tidak mempunyai masalah dalam sebarang bentuk kerjasama.
Menurutnya, oleh itu ruang dan masa perlu diberikan kepada akar umbi bagi mencapai keserasian.
“Ini pertama kali (AMANAH dan BN) ‘duduk’ sekali dalam kerajaan jadi memang ada sedikit ‘gap’ (jurang),” katanya.
Dalam pada itu, Mujahid yang juga Bekas Menteri Agama berkata, satu konvensyen membabitkan keseluruhan jentera Kerajaan Perpaduan BN-PH akan diadakan pada 28 Disember depan yang perincian mengenai intipati serta lokasi penganjuran konvensyen itu akan diumumkan secara rasmi kelak.
Dalam perkembangan lain, mengenai ura-ura bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) itu akan mengisi jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mujahid enggan memberikan sebarang komen namun menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.