Alif Satar akhirnya dedah sebab utama anjur gerakan solat Subuh macam solat Jumaat
Penyanyi dan pelakon, Alif Satar tampil menjelaskan punca dirinya terdetik untuk mengajak para pengikutnya di media sosial untuk mendirikan solat Subuh secara berjemaah di masjid.
Menurut OhBulan!, Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar berkata, idea tersebut mula tercetus selepas dirinya hadir diri ke kelas agama.
Gerakan subuh berjemaah ini bermula sewaktu saya sertai kelas agama dan waktu itu tengah hangatnya mengenai isu di Palestin.
Waktu itu, ustaz yang mengajar tu cakap ramai orang selalu tanya dia macam mana orang Islam nak menang dan dia pun tanya satu soalan ja, ‘Kau solat Subuh di masjid tak?’
Lepas itu ada yang kata tidak sebab takut mengantuk jadi tak solat di masjid. Ustaz tu pun cakap, ‘Macam mana nak lawan Zionis kalau mengantuk pun korang takut?’.
Tambah Alif, dia juga menjadi lebih terkesan apabila terdapat hadis yang menjelaskan ciri-ciri orang munafik ialah mereka yang berat untuk menunaikan solat Subuh dan Isyak.
Lepas itu, ada satu hadis yang disampaikan sewaktu kelas agama tu di mana hadis tu saya tak pernah dengar sebelum ni.
Hadis tu mengatakan bahawa waktu yang paling berat buat si munafik (untuk menunaikan solat) adalah waktu Subuh dan juga Isyak.
Bila saya dengar hadis tu, saya rasakan macam saya ‘ditembak’ di hati, sampaikan saya terfikir, ‘Aku ni baru selesai tunai ibadah haji, tapi suruh followers buat senaman pukul 5.30 pagi kemudian baru Subuh’.
Jadi, saya fikir balik bahawa saya perlu ubah untuk ajak mereka solat Subuh dulu baru buat senaman pada waktu pagi.
Kita kena betulkan cycle tu semula dan sebab itu saya mulakan gerakan solat Subuh berjemaah di masjid ini.
Alif berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada tayangan perdana filem Anak Perjanjian Syaitan 2 yang diadakan di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur.
Sementara itu, pelantun lagu ‘Jangan Nakal’ ini sama sekali tidak menyangka gerakan yang diuar-uarkan di media sosial itu turut disambut baik sehinggakan dipratikkan oleh beberapa institut pengajian tinggi .
Saya rasa sangat bersyukur apabila saya dapatkan gunakan platform media sosial untuk mengajak orang ramai melakukan perubahan sebegitu rupa.
Sebab keesokan harinya itu, ramai yang komen cakap nak turut serta solat Subuh berjemaah di masjid.
Dalam masa yang sama, saya pun terkejut sebab ada juga pihak universiti yang panggil para pelajar mereka untuk solat Subuh berjemaah di masjid mereka.
Bukan itu sahaja, mereka juga gunakan tanda pagar ‘Geng Subuh Macam Jumaat’.
Terdahulu, Alif menerusi perkongsian di TikTok mengajak orang ramai untuk menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid.
Inisiatif yang dilakukan oleh penyanyi itu disambut baik oleh netizen dan rata-rata memujinya serta kagum dengan ‘Geng Subuh Macam Jumaat’ yang diterajunya itu.