Benarkah ibu bapa Melayu ‘liat’ nak bayar yuran PIBG?

Benarkah ibu bapa Melayu ‘liat’ nak bayar yuran PIBG?

 

LAPORAN akhbar menyatakan ibu bapa di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan cukup ‘liat’ membayar sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Lapornya lagi, berbanding di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), pelbagai kemudahan untuk murid dapat disediakan kerana ibu bapa SJKC sentiasa memberikan sumbangan kepada pihak sekolah.

Tetapi laporan ini tidak memberi jawapan yang memuaskan kecuali hanya menyatakan puncanya adalah sikap kebanyakan ibu bapa di sekolah kebangsaan (SK) yang menganggap urusan sekolah adalah tanggungjawab kerajaan bukan urusan mereka.

Soalan yang lebih mendalam sepatutnya diberikan oleh wartawan ini. Mengapa ibu bapa sekolah kebangsaan bersikap begitu? Mengapa mereka ‘liat’ menyumbang dan menganggap ini semua adalah urusan kerajaan sahaja?

Baik, saya kongsikan sedikit pandangan.

Sebanyak 96% murid sekolah kebangsaan adalah murid Melayu-Bumiputera. Jadi sebenarnya, laporan ini adalah tentang ibu bapa Melayu. Betulkah orang Melayu kedekut? Liat untuk menyumbang? Saya kurang setuju. Sebenarnya, orang Melayu sangat pemurah. Sudah ribuan masjid, surau dan pusat tahfiz di negara ini dibina hasil sedekah, derma, infaq dan wakaf daripada orang Melayu. Tak cukup dalam negara, orang Melayu berlumba untuk menyumbangkan kepada orang Palestin, Kemboja, Syria, Bosnia dan belasan negara luar yang memerlukan bantuan. Orang Melayu tidak kedekut, apa lagi untuk tujuan agama dan pendidikan.

Sikap ibu bapa Melayu yang dikatakan ‘liat’ ini bukan muncul secara tiba -tiba. Maksudnya, bukan secara tiba -tiba sahaja ibu bapa sekolah kebangsaan jadi kedekut nak beri sumbangan pada PIBG atau pihak sekolah. Sikap ini sebenarnya adalah respons mereka kepada bagaimana mereka sebagai ibu bapa dilayan oleh pihak berkuasa pendidikan.

Kurang jelas? Baik. Saya jelaskan.

Selama ini di sekolah kebangsaan, kita amalkan sistem pendidikan yang sangat berpusat. Sangat sentralized. Bukan saya yang kata. Siapa kata? Pakar pendidikan dari Bank Dunia yang kata. (Baca kajian laporan Bank Dunia https://shrtm.nu/t0j)

Sekolah kebangsaan kita terlalu sentralized, maksudnya semua keputusan dibuat oleh pengurusan  pendidikan di peringkat pusat. Bila semuanya telah diputuskan di peringkat pusat, tentulah para ibu bapa tidak merasa kesepunyaan terhadap sekolah (tiada sense of belonging).

Jadi kalau pun ada ibu bapa yang hadir ke sekolah, itu bukanlah untuk tujuan pembangunan sekolah. Sekali atau dua kali setahun sahaja ibu bapa dijemput, itu pun atas urusan pelajaran anak-anak masing-masing.

Cuba bandingkan pula dengan cara SJKC. Mereka ada Lembaga Pengelola Sekolah yang sebahagian besar ahlinya dalam kalangan ibu bapa. Lembaga Pengelola Sekolah ini berfungsi untuk membuat keputusan-keputusan penting untuk pengurusan sekolah.

Malah kalau Lembaga Pengelola Sekolah nak cadangkan PGB (pengetua/guru besar) ditukarkan pun boleh. Mesyuarat Lembaga Pengelola sekolah diadakan secara berkala. PGB kena bentangkan laporan kemajuan sekolah pada Lembaga Pengelola Sekolah. Setiap sen sumbangan ibu bapa dan pihak swasta akan diteliti sedalam-dalamnya oleh Lembaga Pengelola Sekolah.

Sekarang anda sudah nampak bezanya antara layanan terhadap ibu bapa di sekolah kebangsaan dan SJKC? Bila ibu bapa dilibatkan dalam urusan sekolah. Bila ibu bapa dimaklumkan secara teliti setiap sen perbelanjaan sekolah, timbulkan rasa kepercayaan atau ‘trust’ yang tinggi para ibu bapa kepada pihak sekolah.

Sebab itulah juga sumbangan akan selalu masuk sebab ibu bapa dan syarikat swasta ada rasa ‘sense of belonging’ dan rasa ‘trust’ yang tinggi.

Ibu bapa mana yang sanggup beri sumbangan yang besar jika mereka sendiri tiada ada rasa ‘sense of belonging’ dan ‘trust’ yang tinggi pada sekolah anak-anak mereka? Logiklah kan?

Dan tentunya di mana-mana sahaja ada ibu bapa yang memang jenis kedekut. Bukan sekolah kebangsaan sahaja, SJKC pun ada juga ibu bapa jenis kedekut. Saya tahu, sebab dulu saya pernah bertugas di sekolah menengah jenis kebangsaan.

Nak ibu bapa menyumbang, nak ibu bapa terlibat dengan program sekolah, perkara pertama ialah kena bina dahulu rasa ‘sense of belonging’ dan ‘trust’ ibu bapa pada pihak sekolah.

Berikan autonomi pada sekolah dan ibu bapa untuk merancang pembangunan sekolah di tempat masing-masing. Jangan terlalu sentralized sangat. Takkanlah, semua perkara kena tunggu jawapan yang datangnya dari Putrajaya.

Jika ibu bapa sudah ada rasa ‘sense of belonging’ dan ada rasa ‘trust’ yang tinggi pada pihak sekolah, saya pasti laporan akhbar ini tentu berbeza bunyinya.

Dr Anuar Ahmad

Penulis ialah Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, UKM
(Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis)