5 tip pilih saiz baju Melayu dengan betul, ini panduan untuk tampil segak dan selesa

5 tip pilih saiz baju Melayu dengan betul, ini panduan untuk tampil segak dan selesa

 

Dalam tempoh kurang seminggu ini dijangkakan ramai yang akan mula mencari baju Melayu untuk digayakan pada Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma tak lama lagi.

Dengan lambakan jenama baju Melayu yang ‘ready-to-wear-‘ ia pasti lebih memudahkan dan lebih cepat. Berbanding membeli kain dan mengupah tukang jahit yang pastinya memakan masa lebih masa atau tidak lagi menerima tempahan di saat akhir.

Penting untuk kita sebagai lelaki ingat dalam memilih saiz baju Melayu yang sesuai, terdapat beberapa aspek penting yang perlu diberikan perhatian agar penampilan tidak hanya segak tetapi juga selesa.

Memetik portal Maskulin, dikongsikan beberapa tip penting untuk anda pilih saiz baju Melayu dengan betul!

UKURAN

Pertama sekali, mengukur badan dengan tepat adalah langkah awal yang paling kritikal. Ini termasuk ukuran leher, dada, pinggang, panjang lengan, dan panjang baju.

Baju Melayu yang sesuai sepatutnya memberikan ruang yang cukup untuk pergerakan tanpa terlalu longgar atau ketat.

Sebagai contoh, baju yang terlalu ketat pada bahagian dada atau pinggang boleh menghalang pergerakan dan keselesaan, manakala baju yang terlalu longgar akan kelihatan tidak kemas.

JENIS KAIN

Ini faktor penting! Jangan tengok harga semata tetapi perhatikan jenis kain. Baju Melayu yang diperbuat daripada kain yang sesuai dengan cuaca Malaysia seperti kain kapas, linen atau kain yang mempunyai sifat menyerap peluh akan memberikan keselesaan yang maksimum.

Kain yang berat dan tidak menyerap peluh boleh menyebabkan rasa tidak selesa terutamanya jika dikenakan untuk tempoh yang lama atau dalam cuaca yang panas.

REKAAN

Seterusnya anda perlu pertimbangkan reka bentuk atau rekaan baju Melayu. Reka bentuk tradisional seperti Cekak Musang, Teluk Belanga atau rekaan moden mempunyai pengaruh terhadap cara baju itu disesuaikan dengan badan.

Sesetengah rekaan mungkin lebih sesuai dengan bentuk badan tertentu. Oleh itu, pilih reka bentuk yang paling sesuai dengan gaya dan keselesaan diri anda.

KEMASAN

Jangan abaikan detail seperti butang dan hiasan. Pastikan butang baju Melayu mudah dikancing dan tidak terlalu ketat.

Ini bukan sahaja menambah keselesaan tetapi juga memastikan penampilan yang lebih kemas dan teratur. Hiasan seperti sulaman atau aplikasi juga harus dipilih dengan bijak agar tidak mengganggu keselesaan atau pergerakan.

Memilih saiz baju Melayu yang betul juga penting seperti melihat ukuran panjang baju dan seluar.

Panjang baju yang ideal adalah sedikit di bawah pinggul manakala panjang seluar harus tepat di atas tumit untuk mengelakkan rupa yang tidak kemas atau kurang profesional.

CUBA DAHULU

Anda juga kena selalu cuba dahulu baju Melayu sebelum membelinya. Ini adalah langkah yang sangat penting untuk memastikan saiz, kain dan reka bentuk sesuai dengan keperluan dan keselesaan.

Jangan teragak-agak untuk meminta pendapat daripada penjual atau pakar fesyen jika perlu.

Akhir sekali, ingat bahawa pemilihan saiz baju Melayu yang betul tidak hanya tentang penampilan tetapi juga tentang keselesaan dan keyakinan diri.

Baju Melayu yang sesuai akan meningkatkan penampilan dan menambah nilai pada gaya seseorang semasa menghadiri acara penting atau dalam kehidupan seharian.

Semoga tip kali ini dapat membantu anda mendapatkan sepasang baju Melayu yang benar-benar mantap dan padu untuk dipakai di pagi Raya!