Amirudin dedah keadaan terkini Faisal Halim, sekarang dah nampak lain sikit
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan beliau telah melawat Faisal Halim atau lebih dikenali sebagai Mickey, di hospital baru-baru ini.
Beliau berkata, pemain sayap Selangor FC (SFC) itu berada dalam keadaan stabil dan kelihatan ceria.
”Syukur alhamdulillah keadaan beliau stabil dan sedang menjalani rawatan dengan baik.
”Beliau kelihatan ceria, bersemangat dan amat berterima kasih dengan sokongan dan doa daripada anda semua, syukur,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau.
Susulan insiden yang menimpa pemain berusia 26 tahun itu, Amirudin berharap masyarakat terus memberikan sokongan kepada Faisal.
”Saya berharap agar kita semua terus memberi beliau sokongan dan doa agar saudara Mickey akan terus pulih dan sembuh sepenuhnya, Insya-Allah.
”Kepada semua peminat dan penyokong bola sepak Selangor Darul Ehsan, saya ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan, doa dan kata-kata semangat yang telah disampaikan kepada saudara Faisal dan juga pasukan Selangor,” katanya lagi.
Dalam kejadian pada 5 Mei lalu, Faisal yang juga pemain skuad kebangsaan, dihampiri dua individu bermotosikal sebelum bertindak menyimbah asid kepadanya di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara.
Dia kemudian dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya untuk menerima rawatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, asid yang disimbah kepada pemain itu adalah jenis asid sulfurik pekat.