Gaji suami tak tinggi, adakah berdosa isteri nak berhenti kerja mahu jadi suri rumah? Ini penjelasan bekas mufti Wilayah Persekutuan
KEBANYAKAN wanita masa kini mempunyai kerjaya masing-masing sebelum mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun, ada yang memilih untuk terus bekerja meskipun sudah berkahwin dan mempunyai anak demi membantu kewangan keluarga.
Tambahan pula kos sara hidup masa kini semakin tinggi dan pasti membebankan pasangan yang bergaji kecil.
Tetapi ada wanita yang mahu berhenti kerja dan memberi fokus pada hal ehwal rumah tangga, namun senario yang berlaku itu menyebabkan mereka berada dalam dilema.
Malah ada yang merasakan tindakan tersebut berdosa kerana tidak membantu suami dalam perbelanjaan harian.
Menjawab persoalan tersebut, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi aplikasi Inarah berkata, tindakan isteri berhenti kerja dan tidak membantu perbelanjaan keluarga bukanlah satu kesalahan atau dosa.
Mengulas lanjut mengenainya, ujar beliau, isteri yang bekerja dengan niat untuk meringankan beban suami dalam menanggung nafkah atau keperluan keluarga adalah merupakan tindakan yang harus diberikan pujian.
Ini kerana pada asalnya tanggungjawab mencari nafkah adalah tanggungjawab yang harus dipikul oleh kaum suami bukanlah kewajipan isteri.
Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah al-Qusyairi R.A, bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab yang bermaksud:
“Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah.” Riwayat Abu Dawud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013)
Nabi SAW turut bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Rabbmu mempunyai hak atasmu, dan jiwamu mempunyai hak atasmu, dan isterimu mempunyai hak atasmu, maka berilah setiap hak kepada orang yang berhak.” Riwayat al-Bukhari (2139)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu, makanan, barang-barang dapur, pakaian, tempat tinggal, alat-alat untuk membersihkan diri, barangan rumah, pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349)
Namun begitu, tidaklah menjadi kesalahan atau dosa sekiranya seorang isteri memilih untuk berhenti bekerja, yang menjadikan dia tidak lagi mampu memberi bantuan kepada suaminya.
Ini kerana tugas asal seorang isteri adalah di rumah, iaitu untuk mendidik anak-anak, menguruskan urusan rumah tangga, dan melaksanakan tanggungjawab keluarga yang lain.
Syeikh Ibn Jibrin pernah ditanya tentang kewajipan wanita memasak untuk suaminya, dan adakah dia berdosa jika tidak melakukannya. Lalu beliau menjawab: “Uruf umat Islam, isteri masih memberikan khidmat seperti mana adat setempat kepada suaminya seperti menyediakan makanan, membasuh baju dan bekas, membersihkan bilik-bilik dan selainnya.
Semuanya mengikut kesesuaian si suami, dan inilah adat yang masih diamalkan sejak zaman Nabi sehingga kini tanpa ada yang mengingkarinya.
Akan tetapi, tidak boleh mewajibkan isteri dengan kerja-kerja yang membebankan serta menyusahkan mereka, sebaliknya kerja itu bergantung kepada kemampuan dan adat setempat.” (Lihat Fatawa al-Ulama’ fi ‘Isyrah al-Nisa’, hlm. 20)
Dinyatakan dalam al-Majmu’ bahawa Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah menyatakan bahawa seorang wanita wajib melakukan apa yang kebiasaannya dilakukan oleh wanita sepertinya menurut uruf masyarakat setempat.
Abu Thaur pula berpendapat bahawa isteri wajib berkhidmat kepada suami dalam setiap perkara. Ibn Habib berkata berdasarkan kisah Fatimah di atas nabi SAW menyuruh beliau melakukan kerja rumah keseluruhannya. (Lihat al-Majmu’, 18/78-79)
Justeru, kami nyatakan bahawa tugas dan tanggungjawab menyara keluarga merupakan kewajipan suami.
Isteri tidaklah diwajibkan oleh syarak untuk menanggung keluarga sebagaimana yang ditetapkan ke atas suami.
Oleh itu, tidaklah salah jika wanita memilih untuk berhenti kerja dan tidak menyumbang kepada nafkah keluarga bersama suami.
Bagaimanapun, kami menasihati bahawa jika isteri tersebut mempunyai kesenangan harta dan rezeki yang mencukupi, adalah lebih baik untuk sama-sama membantu suami dalam meringankan beban dan menguruskan rumahtangga.