Siapa sangka garam boleh selesaikan masalah tandas tersumbat, ini 6 langkah mudah lancarkan balik saluran
Siapa sangka, garam yang merupakan ‘penghuni tetap’ dalam dapur rumah rupanya boleh membantu menyelesaikan masalah lubang tandas tersumbat.
Malah penggunaan bahan dapur itu juga dijamin selamat untuk alam sekitar kerana sifat semula jadinya yang tidak mengandungi sebarang bahan kimia berbahaya.
Hanya memerlukan dua bahan, berikut adalah panduan untuk membersihkan lubang tandas tersumbat menggunakan garam berdasarkan artikel terbitan Nakita Grid.
Bahan-bahan:
- Satu atau dua cawan garam dapur
- Satu atau dua liter air panas
- Baldi atau bekas besar
- Sarung tangan
Langkah-langkah:
1. Mula-mula, taburkan satu ke dua cawan garam yang telah disediakan ke dalam saluran tandas tersumbat.
2. Kemudian tuangkan air panas sekitar satu ke dua liter ke dalam saluran tandas yang telah ditabur garam.
3. Pastikan air yang dituang cukup panas untuk membantu proses melarutkan garam seterusnya menanggalkan kotoran yang tersumbat di dinding lubang tandas.
4. Ingat! Biarkan campuran garam dan air panas itu meresap selama 30 sehingga 60 minit dahulu. Proses ini akan membantu menanggalkan kotoran secara semula jadi.
5. Selepas larutan tersebut menyerap, saluran tandas boleh dibilas menggunakan air bersih untuk membersihkan sisa garam dan juga kotoran yang belum tertanggal.
6. Sekiranya saluran tandas masih lagi tidak lancar, ulangi proses ini beberapa kali sehinggalah masalah tersumbat itu selesai.
Tips tambahan
- Pakai sarung tangan
Sentiasa gunakan sarung tangan ketika proses pembersihan untuk melindungi tangan daripada kotoran dan bahan kimia yang mungkin terdapat dalam lubang tandas.
- Seimbangkan kuantiti garam
Pastikan kuantiti garam yang digunakan seimbang. Jangan gunakan terlalu banyak kerana dikhuatiri boleh merosakkan saluran tandas di dalam jangka masa panjang.
- Cegah masalah tersumbat
Untuk mengelakkan masalah tandas tersumbat, disyorkan untuk tidak membuang objek seperti kain, tuala wanita ataupun bahan lain yang boleh menyumbat saluran.