Mat Sabu kata isu sama ada harga beras dinaikkan diputuskan beberapa bulan lagi

Mat Sabu kata isu sama ada harga beras dinaikkan diputuskan beberapa bulan lagi

 

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang melaksanakan perbincangan dengan pihak berkaitan mengenai cadangan menaikkan harga siling beras putih tempatan (BPT) dan keputusan itu dijangka diputuskan sedikit masa lagi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata setakat ini, pihaknya belum boleh memberikan sebarang ketetapan mengenai perkara itu.

“Perbincangan (mengenai cadangan naikkan harga siling BPT) adalah membabitkan semua pihak (berkaitan). Ia sedang berjalan dan tunggulah beberapa bulan lagi, kita akan buat keputusan.

“(Setakat ini), ia masih di perbincangan, kerana itu saya tidak boleh lagi umumkan keputusannya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Blueprint Keterjaminan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Dewan Besar, Pusat Kebudayaaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPKM, Datuk Badrul Hisham Mohd, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Datuk Dr Ibrahim Komoo dan Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

November lalu, Mohamad Sabu memaklumkan kerajaan perlu meneliti cadangan Badan Kawal Selia Padi dan Beras supaya harga siling BPT dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding harga siling semasa iaitu RM2.60 sekilogram.

Ia mengambil kira impak kenaikan itu dengan keputusan yang dibuat bakal memberi kesan kepada hampir 300,000 komuniti yang terbabit dalam setiap rantaian berkenaan meliputi pesawah, pengilang komersial, pemborong dan peruncit.

Dalam pada itu, Mohamad Sabu berkata, buat masa ini bekalan beras agak stabil, namun kebergantungan kepada beras import akan memberi kesan kepada turun naik harga bahan mentah itu.

“Sekarang ini (bekalan) beras agak stabil, bagaimanapun selagi kita masih import (beras) dengan ketika ini jumlahnya sekitar 38 peratus, akan berlaku turun naik harga.

“Ditambah pula dengan fenomena perubahan iklim semasa, ia antara ancaman yang nyata dan serius bukan sahaja di Malaysia tetapi di mana-mana tempat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, pemantauan berterusan digerakkan kementerian itu di Kelantan berikutan situasi kemarau panjang yang dijangka menjejaskan hasil pertanian terutama penanaman padi.

“Di Kelantan ketika ini, hampir empat bulan tak turun hujan sehingga menyebabkan sungai dan empangan kering. Bagaimana (impak) penanaman padi di Kelantan dengan proses (tanaman) akan berlaku tidak lama lagi. Ini yang kita sedang bincangkan secara serius, jika (kemarau) berterusan, apakah akan menjejaskan hasil dan bekalan beras tahun ini dan tahun depan.

“Perkara ini masih lagi dalam perbincangan,” katanya.