Salahguna pas lawatan sosial: Warga Singapura tidak lagi ulang-alik rumah di Johor Bharu setelah diberi amaran pegawai imigresen Malaysia

Salahguna pas lawatan sosial: Warga Singapura tidak lagi ulang-alik rumah di Johor Bharu setelah diberi amaran pegawai imigresen Malaysia

 

Pasangan suami isteri warga Singapura, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Muna dan Encik Kas, berulang-alik hampir setiap hari dari Singapura ke Johor Bahru (JB) tanpa banyak kerumitan sebelum ini untuk menetap di rumah yang dibeli di JB sejak 2014.

Namun, pengalaman tersebut menjadi kurang menyenangkan setelah mereka disoal oleh pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) beberapa kali sejak hujung 2022.

Rumah teres berhampiran Taman Mount Austin itu – dibeli pada harga RM936,000 atau sekitar $360,000 mengikut kadar pertukaran bagi 2014 – terletak sekitar 30 minit memandu dari Pusat Pemeriksaan Woodlands, jika tiada kesesakan.

Pasangan itu memberitahu Berita Minggu (BM) sungguhpun lumrah menempuh kesesakan semasa memandu, proses berulang-alik tidak banyak isu sebelum ini. Namun, ia berubah sejak penghujung 2022.

Cik Muna, seorang penyelaras mutu, berkata: “Kami telah disoal beberapa kali tentang tujuan kami berulang-alik secara harian oleh pegawai di kaunter imigresen sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan.

“Ia bermula penghujung 2022 sehingga 2023 dan pegawai bertugas memberi amaran kepada kami.

“Kami diberitahu agar memohon program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H). Saya diberitahu perlu ada sekurang-kurangnya RM1 juta ($286,560) dalam bank Malaysia. Saya tak mampu kalau begitu.”

Menurut kenyataan media di laman rasmi Pelancongan Malaysia, MM2H ialah program pemastautin bagi warganegara asing menetap atau bersara di Malaysia, pasnya sah selama lima tahun dan boleh diperbaharui.

Pasangan itu kini memasuki Johor pada Khamis untuk menetap di rumah mereka semasa hujung minggu sebelum pulang pada Isnin, dan mengulangi rutin tersebut bagi mengelak daripada disoal pegawai imigresen.

Pengalaman sedemikian turut dikongsi Encik Mohamed Kassim Yusoff apabila beliau dan beberapa anggota keluarganya berulang-alik hampir setiap hari dari Singapura ke Johor Bahru setelah membeli rumah teres pada harga sekitar RM500,000 di Taman Nusa Indah pada 2010.

Namun, pesara berusia 71 tahun itu berkongsi beliau menjual rumah tersebut pada 2023 disebabkan pengalaman kurang menyenangkan ini, yang menurutnya berlaku beberapa kali terhadap dirinya dan anggota keluarga lain sejak 2019. Beliau kini menetap di flat HDB di kawasan Punggol.

Beliau menjelaskan sungguhpun kadangkala perlu berhadapan kesesakan, pengalaman ulang-alik dengan memandu kereta tidaklah begitu mendebarkan dan memberi tekanan sebelum ini.

“Kami selalu ulang-alik macam biasa (sejak ada rumah di sana). Tetapi saya perasan kami disoal (pegawai imigresen) bermula sekitar awal 2019.

“Pegawai tanya apa tujuan kami ulang-alik dan sebagainya. Tetapi apa yang kami tak tahan ialah cara teguran (dan cara soalan) diajukan kepada kami,” tambahnya.

Sekiranya beliau ingin ulang-alik seperti biasa, pegawai tersebut menyarankan agar Encik Kassim membuat permohonan bagi program MM2H dan diberi peringatan untuk tidak menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial.

Pekeliling terkini Prosedur Visa dan Keperluan Kemasukan ke Malaysia yang dikeluarkan Divisyen Imigresen, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, dikemas kini pada Februari 2024, menyatakan pemegang pasport Singapura secara umumnya diberi Pas Lawatan Sosial bagi tujuan pelancongan, antara lain, untuk memasuki Malaysia.

Namun, pekeliling sebelum ini bertarikh Mac 2023 menjelaskan pas itu tidak boleh digunakan untuk ulang-alik setiap hari atau menetap di Malaysia bagi tempoh maksimum atas tujuan tinggal bersama keluarga atau rakan atau menyewa atau membeli hartanah di Malaysia.

Apabila BM menyemak pekeliling terkini bertarikh Februari 2024, peraturan tersebut tidak lagi tertera.

Seorang lagi warga Singapura berusia 66 tahun, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Harris dan kini bekerja sebagai pemandu, berkata beliau pernah disoal di kaunter imigresen ketika pemeriksaan pasport di pusat pemeriksaan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) pada awal 2023 sebelum dibenarkan meneruskan perjalanannya.

Rumah teresnya itu terletak berdekatan Taman Mount Austin, yang dibelinya pada 2014 pada harga RM888,000.

“Saya diberitahu tidak boleh ulang-alik antara JB dan Singapura setiap hari. Hanya dibenarkan seminggu sekali kalau nak masuk atau menjarakkan tempoh masuk ke JB. Kalau boleh jangan nampak ketara sangat,” ujarnya.

Menjawab pertanyaan BM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjelaskan ia tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan yang melarang perjalanan keluar masuk Malaysia bagi warganegara Singapura, selagi mana individu tersebut tidak tergolong dalam syarat Imigran Larangan, mempunyai pasport cukup tempoh sah laku dan miliki pas yang sah.

Peguamcara dan Peguambela Imigresen yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Cik Niki Lim Hui Min, pula berkata mana-mana warga asing yang ingin tinggal di Malaysia untuk tempoh masa panjang umumnya perlu memiliki visa, permit atau pas sah, dan yang paling sesuai biasanya ialah visa di bawah MM2H atau Program Visa Premium (PVIP).