Hukum guna daging korban untuk majlis kenduri

Hukum guna daging korban untuk majlis kenduri

 

HUKUM menggunakan daging korban untuk majlis kenduri adalah harus, namun mestilah diperuntukkan sebahagian daging korban dengan cara bersedekah dalam keadaan mentah kepada golongan fakir miskin.

Oleh yang demikian, baki selebih daging korban tersebut boleh digunakan untuk masakan majlis kenduri dan dihidangkan kepada orang ramai.

Menurut rujukan Imam Al-Syirbini, dalam isu daging korban yang disediakan untuk dijadikan bahan masakan bagi majlis kenduri, katanya:

Maksudnya: “Maka tidak memadai dengan menjadikan (memasak) daging tersebut sebagai makanan dan menjemput orang-orang fakir untuk menjamahnya. Hal ini kerana, hak mereka adalah pada pemilikan dan bukannya pada menjamah makanan, sedangkan mereka tiada pemilikan terhadap makanan yang dimasak itu.”

Sementara itu, hukum menunaikan ibadah korban adalah sunat muakkad.

Hal demikian menjadi wajib kepada dua keadaan iaitu korban nazar yang disandarkan pada sesuatu hajat dan korban yang diniatkan ke atas haiwan tertentu.

Dalam mazhab Syafie, daging korban wajib disedekahkan sebahagiannya biarpun sedikit kepada fakir miskin.

Hal demikian, ia wajib diberikan kepada mereka dalam keadaan daging mentah agar dapat menggunakannya dengan bebas sama ada untuk memasak, berjual beli dan sebagainya.

Antara perkara yang paling afdal adalah bersedekah dengan kesemua daging korban tersebut, di samping sesuap makanan memperoleh keberkatan daripadanya dan mengikuti sunnah Nabi Muhammad SAW.