Tingkat bekalan telur bersubsidi, bukan turun harga – Bos Mydin

Tingkat bekalan telur bersubsidi, bukan turun harga – Bos Mydin

 

Kerajaan sepatutnya meningkatkan bekalan telur ayam bersubsidi di pasaran dan bukannya menurunkan harga runcit bahan makanan itu, kata Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin.

Ameer berkata sejak beberapa bulan lalu bekalan telur di pasaran tidak mencukupi.

“Dengan penurunan harga telur ini, bolehkah kerajaan memberi jaminan akan ada lebih banyak bekalan telur? Saya meraguinya,” katanya kepada FMT, merujuk kepada penurunan 3 sen untuk harga runcit telur gred A, B, dan C di seluruh negara.

“Saya tidak fikir bekalan telur bersubsidi ini akan mencukupi.”

Katanya, di bawah rangka kawalan harga ketika ini, pengeluar kekurangan inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran telur standard, terutama telur Omega yang tidak layak untuk subsidi.

“Sekiranya anda membenarkan kuasa pasaran membuat keputusan, secara automatik bekalan akan meningkat,” katanya.

Ketika mengumumkan penurunan harga telur ayam hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata langkah itu membabitkan subsidi 10 sen bagi sebiji telur ayam melibatkan perbelanjaan RM100 juta.

Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Jeffrey Ng pula menyambut baik penurunan harga itu tetapi memberi amaran kemungkinan aktiviti penyeludupan akan menyebabkan ketirisan.

“Menguruskan ketirisan adalah penting. Sekiranya telur bersubsidi diseludup ke negara jiran, bekalan kepada rakyat Malaysia akan terjejas,” katanya kepada FMT.

“Kami mahu produk ini membantu rakyat Malaysia bukannya memberi keuntungan kepada penyeludup, ini akan membantutkan tujuan harga subsidi tersebut.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia Beninder Singh menggesa peniaga mematuhi arahan kerajaan untuk menurunkan harga telur.

“Pengguna digalakkan untuk terus buat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya peniaga didapati menjual harga tinggi daripada harga kawalan,” katanya yang dipetik Bernama sebagai berkata.

Subsidi bersasar penyelesaian jangka panjang

Ameer dan Ng juga ragu kerajaan mampu mengekalkan subsidi untuk harga telur, dan sebaliknya mencadangkan bantuan bersasar untuk kumpulan yang memerlukan.

“Saya merasakan ini adalah langkah salah oleh kerajaan kerana rancangan asal adalah untuk mengeluarkan subsidi dari barangan utama dan membantu kumpulan berpendapatan rendah menerusi subsidi bersasar,” kata Ameer, yang menambah penurunan harga ini turut memberi manfaat kepada orang kaya.

Ng berkata Putrajaya tidak akan mampu mengekalkan kos tinggi untuk subsidi telur untuk jangka masa panjang, yang dilaporkan berjumlah RM927 juta pada 2023.