Pendapatan cecah RM50 juta setahun, Mila Jirin kini dah jadi jutawan hasil berniaga katering

Pendapatan cecah RM50 juta setahun, Mila Jirin kini dah jadi jutawan hasil berniaga katering

 

Penyanyi Mila Jirin kini berjaya bergelar ‘jutawan’ apabila mampu memperoleh pendapatan mencecah RM50 juta setahun.

Nursyamila Jirin, 37, berkata, pendapatan itu diperoleh selepas membangunkan perniagaan pakej perkahwinan Bizmilla Catering.

Mengimbau kepayahan mencipta empayar, Mila berkata dia pernah dipandang serong ketika bertemu seorang pegawai bank untuk membuat pinjaman sebanyak RM100,000.

Kongsi Mila, individu berkenaan memberitahunya dia tidak akan berjaya memandangkan perniagaan diceburinya iaitu berkaitan katering dan pengurusan perkahwinan adalah kelas ketiga.

“Saya ingat sampai sekarang, 14 tahun lalu lepas jumpa seorang pegawai bank untuk buat pinjaman RM100,000 dia cakap perniagaan saya ini adalah kelas ketiga, tidak boleh berjaya.

“Saya menangis dalam kereta selepas jumpa dia namun suami cakap dia bukan Tuhan untuk berkata begitu dan kami teruskan usaha,” katanya dalam satu perkongsian di Instagram miliknya baru-baru ini.

Tidak pernah patah semangat dek pandangan negatif sebegitu, Mila membuktikan dia kini seorang usahawan berjaya menerusi syarikat Bizmilla miliknya.

Malah dia juga berbangga kerana dapat berkongsi rezeki dengan ramai pekerja yang berkhidmat di bawahnya dan pendapatan syarikatnya sudah mencecah RM50 juta setahun.

“Orang-orang yang Allah hantar untuk uji kita, tetapi saya dan suami tidak patah semangat. Malah yakin dengan perancangan Allah

“Hari ini pendapatan Bizmilla hampir RM50 juta setahun dan 18 dewan jamuan. Perniagaan saya beri manfaat kepada 250 orang pasukan dengan caruman skim simpanan wang pekerja (KWSP) lebih RM600,000 sebulan,” jelasnya.

Sementara itu dalam satu temu bual sebelum ini Mila juga memberitahu dia amat merindui untuk terus aktif dalam bidangbnyanyian selepas sekian lama tidak tampil dengan lagu baharu.

“Rindu nak menyanyi. Sebelum ini saya fokus kepada perniagaan dan anak pun masih kecil.

“Cuma sekarang ini suami masih belum izinkan. Saya dalam proses untuk cuba memujuk dia,” jelasnya.