Ramai tak tahu daging akan terus lembut kalau guna daun betik

Ramai tak tahu daging akan terus lembut kalau guna daun betik

 

Siapa sangka, pokok betik iaitu salah satu  tumbuhan popular di Malaysia mempunyai isi kandungan yang boleh membantu untuk melembutkan daging.

Menurut Public Health Malaysia (PHM), enzim dikenali sebagai ‘papain’ yang mampu membantu untuk melembutkan daging itu sebenarnya terkandung dalam daun betik.

Secara saintifik, papain daripada daun betik ini berfungsi sebagai pemecah protein kompleks berada di dalam daging untuk menjadi fragmen-fragmen yang lebih kecil.

Fungsi ini yang menjadi punca mengapa daging boleh menjadi empuk dengan lebih cepat sekiranya petua menggunakan daun betik ini diaplikasikan oleh tukang masak.

“Petua melembutkan daging menggunakan daun betik ini memiliki penjelasan secara saintifik yang menarik. Sebenarnya, daun mengandungi enzim yang dikenali sebagai papain.

“Ia berfungsi sebagai pemecah protein kompleks di dalam daging menjadi fragmen-fragmen yang lebih kecil. Papain juga membantu daging lebih cepat empuk ketika dimasak,” katanya menerusi satu hantaran di platform Facebook.

Dalam hantaran sama, PHM menjelaskan bahawa daun betik perlulah dihancurkan terlebih dahulu sekiranya mahu menggunakan petua semula jadi kongsiannya itu.

Kemudian, daun yang telah hancur tersebut bolehlah dilumurkan pada keseluruhan permukaan daging sebelum dibalutkan dan dibiarkan dalam tempoh beberapa jam.

Enzim papain yang terdapat di dalam daun betik itu juga mempunyai kegunaan lain daripada segi perubatan sebagai ubat mengurangkan bengkak luaran atau papase.

“Setelah dilumurkan, bungkus daging itu menggunakan daun betik dan membiarkan selama beberapa jam untuk mendapatkan tekstur daging yang lebih empuk dan sedap.

“Selain daripada kegunaan di dalam masakan, enzim papain ini digunakan secara meluas dalam perubatan sebagai ubat mengurangkan bengkak ataupun papase.

“Papain juga boleh digunakan untuk membuang sel kulit mati dan menjadikan wajah lebih licin.” Jelas PHM dalam hantaran sama menerangkan khasiat daun betik untuk kecantikan wajah.