Ada cara nak buat sosej jadi makanan sihat, ini resepinya

Ada cara nak buat sosej jadi makanan sihat, ini resepinya

 

Umum mengetahui, daging sosej merupakan salah satu makanan segera yang kurang sihat namun diminati oleh masyarakat Malaysia tak kira umur mahupun bangsa.

Makanan segera ini bagaimanapun tidak sesuai dimakan khususnya oleh anak kecil yang memerlukan nutrisi berkhasiat untuk membantu proses pertumbuhan mereka.

Oleh yang demikian, ibu bapa seharusnya lebih kreatif dalam menyediakan makanan berkhasiat buat anak-anak di samping memastikan hidangan sihat itu enak untuk dinikmati.

Prihatin dengan kegusaran orang ramai, seorang wanita tampil berkongsi resepi dan cara pembuatan sosej versi sihat yang sangat mudah disediakan sendiri di rumah.

Tular di media sosial, resepi itu dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Damia Roti dan Kek menerusi hantaran tular di platform berkenaan.

Bahan-bahan

  • Sebiji ubi keledek
  • Empat hingga lima ketul dada ayam
  • Dua biji telur
  • Sedikit sayuran (pilihan sendiri)
  • Sebiji bawang besar
  • Empat hingga lima ulas bawang putih
  • Sedikit lada hitam
  • Secubit garam
  • Empat sudu besar tepung ubi (bancuh dahulu bersama setengah gelas air)

Langkah-langkah penyediaan sosej

1. Campurkan semua bahan ‘sihat’ yang telah disediakan dan masukkan ke dalam jag mesin pengisar. Kisarkan semua bahan sehingga hancur.

2. Kemudian, masukkan bahan yang telah dikisar itu ke dalam plastik aiskrim bagi mendapatkan bentuk seperti sosej. Jangan lupa pula untuk mengikat hujung kiri dan kanan plastik.

3. Setelah selesai diikat, bolehlah rebuskan plastik yang telah diisi dengan adunan itu dalam jangka masa selama 10 hingga 15 minit. Selalu periksa bagi memastikan plastik tidak pecah.

4. Apabila siap direbus, boleh masukkan adunan yang telah masak ke dalam peti ais untuk disejukkan terlebih dahulu. Kemudian, sosej versi sihat anda sedia untuk digoreng pada bila-bila masa sahaja!

Semoga perkongsian ini dapat membantu para ibu atau mereka yang mengamalkan diet sihat namun masih lagi mencari makanan berkhasiat namun enak untuk dinikmati.