Netizen kecam Datuk Red kucup kepala bekas isteri, Adira enggan komen apa-apa

Netizen kecam Datuk Red kucup kepala bekas isteri, Adira enggan komen apa-apa

 

TINDAKAN spontan usahawan Datuk Seri Adnan Abu mengucup kepala bekas isterinya iaitu penyanyi Adira ketika sedang melakukan video siaran langsung di TikTok mengundang kecaman ramai.

Walaupun masih mengekalkan hubungan baik selepas bercerai, Adira atau Siti Adira Suhaimi, 32, menjelaskan riak wajahnya sudah cukup menjadi jawapan terhadap tindakan Adnan.

Adira bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut kerana tidak mahu menghangatkan lagi isu rumah tangganya yang sudah reda.

“Saya rasa semua orang boleh nampak reaksi saya itu tapi kalau boleh saya tak nak komen apa-apa mengenai perkara ini.

“Saya enggan memanaskan perkara itu kerana ia tak mendatangkan faedah pun kepada saya,” katanya ketika dihubungi mStar pada Ahad.

Ditanya sekiranya akan menetapkan sebarang syarat kepada Adnan bagi mengelak kejadian serupa, Adira memilih untuk tidak mengulas mengenainya.

Sebaliknya tegas Adira, niatnya hanya mahu membantu Adnan atau mesra disapa Datuk Red dalam perniagaan secara dalam talian.

“Itu pun saya tak nak komen sebab niat asal saya cuma ingin membantu sahaja,” luahnya.

Sebelum ini, tular di media sosial memaparkan Adnan mencium Adira di bahagian kepala ketika siaran langsung di TikTok.

Tindakan spontan itu juga disaksikan anak tiri Adira iaitu Awin yang sama-sama terkejut dengan tindakan bapanya.

Untuk rekod, Adnan dan Adira sah bercerai talak satu pada 24 April lalu selepas sembilan tahun mendirikan rumah tangga.

Adnan kemudian turut menceraikan isteri pertamanya Sharifah Norshafila pada 14 Mei 2024.

Hasil kedua-dua perkahwian itu Adnan dikurniakan sembilan orang cahaya mata.