Gara-gara makan ayam tandoori, 28 pelajar sekolah alami keracunan makanan
Sejak kebelakangan ini, kes keracunan makanan semakin menjadi-jadi akibat tidak peka dalam cara pengendalian makanan yang betul serta tahap kebersihan lemah.
Antara mangsa popular adalah pelajar sekolah yang sering mendapat makanan disediakan dalam jumlah yang banyak.
Terbaharu, seramai 28 pelajar Sekolah Menengah Teknik Tunku Abdul Rahman Putra di Jalan Ibbetson, Georgetown, dilaporkan mengalami keracunan makanan.
Kejadian dikatakan berlaku selepas pelajar menikmati hidangan ayam tanduri (tandoori) yang dimasak di dapur kantin sekolah terbabit, pada Jumaat lalu.
Menurut laporan Harian Metro, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen berkata, bagaimanapun kesemua pelajar berkenaan sudah dibenarkan pulang ke rumah semalam selepas mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Seramai 28 pelajar yang terbabit, kesemuanya sudah dibenarkan keluar dari hospital semalam dan hanya satu dirujuk ke klinik kesihatan”.
Menurutnya juga, siasatan masih dilakukan dengan mengesan sampel makanan yang dihidangkan kepada pelajar sekolah tersebut. Mengulas lanjut, Daniel berkata, setakat ini tiada kes baharu dikesan.
Difahamkan, dapur sekolah itu sudah disita mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
*Diharapkan semoga kes keracunan makanan sebegini tidak berlaku lagi kerana turut boleh menyebabkan kematian.