Datuk Red dan Adira kembali bercinta, rancang kahwin Aidilfitri tahun depan
“Saya lelaki paling bahagia sekarang ini. Hari ini sudah masuk hari kelima saya dan Adira menyulam cinta.”
Demikian kata usahawan Datuk Seri Adnan Abu atau dikenali Datuk Red yang mengesahkan sedang dalam fasa percintaan dengan bekas isterinya, Adira Suhaimi selepas sah bercerai pada April lalu.
Datuk Red ketika dihubungi Harian Metro berkata, perpisahan yang berlaku memberi ‘tamparan hebat’ kepada dirinya untuk memperbaiki hubungan rumah tangga yang pernah mereka bina sebelum ini.
“Hidup saya lebih indah sekarang. Saya tak berhenti tersenyum bahagia, Alhamdulillah.
“Perpisahan yang berlaku mengajar saya untuk menjadi lebih baik. Adira nampak segala perubahan yang cuba saya lakukan sepanjang dalam tempoh perceraian ini.
“Saya sudah berbincang dengan keluarga dan adik-beradiknya, mereka bersetuju untuk kami kembali bersama.
“Jika tiada aral melintang, saya akan memperisterikan semula Adira pada Aidilfitri tahun depan. Saya ambil masa ini kerana nak selesaikan hutang-hutang saya dahulu,” katanya.
Menurut Datuk Red, dia berasa kesal apabila ada pihak mendakwa dirinya sengaja mahu menyingkirkan bekas isteri pertamanya dikenali Datin Red dengan perpisahan yang berlaku ini.
“Mereka tak tahu apa yang terjadi dalam rumah tangga saya sedangkan dalam tempoh idah sebelum ini saya membuka peluang kepada kedua-dua bekas isteri untuk bersama dengan saya semula.
“Kalau nak singkirkan bekas isteri pertama buat apa saya nak beri peluang itu. Tapi hanya Adira terbuka hati untuk bersama saya semula.
“Lagipun bukan saya yang nak bercerai, sebaliknya kedua-dua bekas isteri yang memfailkan perceraian dan saya akur dengan keputusan yang mereka lakukan,”katanya.
Dalam masa sama, Datuk Red berkata, dia memang tiada niat untuk mencari calon isteri yang baharu.
“Nak berkahwin dengan orang baharu, semua itu tidak akan berlaku. Semua sedia maklum saya ada hutang yang berlambak.
“Tambah pula, usia saya bukan muda lagi. Jadi saya hanya selesa dengan individu yang pernah bersama saya.
“Insha-Allah saya dan Adira turut merancang untuk mengadakan majlis resepsi di sini jika semuanya berjalan dengan lancar,”katanya.
Untuk rekod, Adira dan Datuk Red bercerai talak satu selepas sembilan tahun mendirikan rumah tangga pada 24 April lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek,6,Asan,5,Anggun,4, dan Ayob yang kini berusia dua tahun.