Ramai tak tahu daun pandan boleh bantu cegah penuaan, campur 1 bahan ini sebelum oles di muka

Ramai tak tahu daun pandan boleh bantu cegah penuaan, campur 1 bahan ini sebelum oles di muka

 

Daun pandan adalah salah satu jenis tumbuhan tropikal yang mempunyai aroma wangi dan rasa seperti ros, badam serta vanila.

Mudah didapati di Asia Selatan dan Asia Tenggara termasuk Malaysia, daun pandan ini merupakan salah satu tumbuhan popular yang sering digunakan dalam masakan.

Namun tahukah anda, tumbuhan tersebut juga mempunyai banyak khasiat berguna buat kesihatan manusia termasuklah kecantikan kulit seperti menghilangkan jerawat.

Menurut Dr Rizal Abu Bakar, pandan sebenarnya mengandungi ‘tannin’ iaitu bahan yang mengeluarkan antioksidan di mana ia menjadikan kulit terlihat sihat dan berseri.

Selain menjadi bahan semula jadi yang boleh merawat kulit bakar, tumbuhan ini juga dikatakan boleh menghilangkan jerawat, mengecilkan pori dan mencegah penuaan.

Berikut kami kongsikan langkah-langkah yang perlu anda ikuti untuk merawat masalah dinyatakan di atas berdasarkan hantaran dimuat naik di akaun Facebook milik Dr Rizal.

Masalah jerawat

Lenyekkan daun pandan dan campurkannya bersama madu, lemon atau tomato. Kemudian, oleskan bancuhan yang sudah sebati itu kepada muka selama 15 minit.

Masalah pori-pori besar

Untuk mengecilkan pori-pori, daun pandun hendaklah dihancurkan lalu dicampurkan dengan kuning telur. Lumurkan pada wajah terutamanya pada bahagian pori besar.

Mencegah penuaan

Daun pandan yang dicampur dengan minyak zaitun dikatakan berkesan mencegah penuaan kepada kulit. Oleskan kepada wajah setiap hari untuk kesan menakjubkan.

Jangan lupa, pastikan tangan dan muka anda dibersihkan terlebih dahulu sebelum melakukan mana-mana rawatan wajah yang dikongsikan oleh Dr Rizal Abu Bakar ini.

“Sebut bab daun pandan dan kesihatan kulit, kedua-dua ini sangat serasi bersama. Daun pandan ada tannin. Tannin juga ada dalam kopi, teh dan juga koko,” katanya.