“Yang tak guna ni kita buang cepat”, ketegasan Ayob Khan jadi kebanggaan bangsa Johor

“Yang tak guna ni kita buang cepat”, ketegasan Ayob Khan jadi kebanggaan bangsa Johor

Seorang pegawai kanan dan tiga anggota polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan melibatkan seorang pengurus kilang di Batu Pahat, Johor.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, tangkapan dibuat pada 8 April lalu kira-kira jam 6.15 petang.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek telah meminta wang sejumlah RM1,500 untuk tindakan undang-undang tidak diambil terhadap pekerja warganegara Bangladesh di premis terbabit.

“Mangsa telah menyerahkan wang tersebut kepada suspek sebelum suspek beredar dari tempat kejadian dan tidak mengambil tindakan terhadap pekerja itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Rabu.

Tambah Ayob lagi, susulan laporan dibuat oleh mangsa, tangkapan dibuat terhadap kesemua suspek berusia dalam lingkungan 26 hingga 46 tahun.

Kesemua suspek turut direman selama sehari dan kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Jelas Ayob, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk pada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

Mengulas lanjut berhubung kegiatan itu, Ayob berkata pihaknya percaya suspek telah lama terlibat dalam kes pemerasan terhadap pengurus kilang di daerah berkenaan.

“Mereka ini dah lama jalankan akitviti ini, maklumat-maklumat sebelum ini tidak sampai ke IPK, mereka ini dah jadi macam pemungut cukai pintu pergi kilang ke kilang untuk buat pemerasan.

“Kali ini, mangsa datang buat laporan sebab itu kita ambil tindakan, saya sedang siasat sama ada laporan ada dibuat terhadap Ketua Polis Daerah (OCPD). Kalau tidak ambil tindakan sebab empat orang ni dah buat (kegiatan) lama dah, jadi saya arahkan tangkap bila maklumat sampai dekat saya,” katanya lagi.

Tegas Ayob lagi, bukan menjadi kebanggaan buat Polis Johor apabila jumlah pegawai serta anggota dibuang kerja meningkat tahun ini.

Sebaliknya, ia bagi membersihkan institusi itu daripada individu yang bersekongkol dengan sindiket mahupun jenayah.

“Paling cepat dan mudah, kita buka kertas siasatan di bawah kes-kes jenayah, bukan satu kebanggaan tindakan buang kerja di Johor.

“Tahun lepas sahaja 46 orang dibuang kerja, tahun ini kemungkinan 20 orang dibuang kerja.

“Ini menunjukkan Polis Johor boleh ambil tindakan dalaman sendiri, membetulkan PDRM dari dalam dan ambil tindakan tegas,” katanya lagi. – AA