Raja-Raja Melayu menerima tempias dari perancangan jahat Perikatan Nasional

Raja-Raja Melayu menerima tempias dari perancangan jahat Perikatan Nasional

Kemarahan rakyat berhubung pelaksanaan perintah darurat bagi membendung penularan wabak Covid-19 bukan ditujukan kepada Raja-raja Melayu sebaliknya kecewa dengan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang lemah, kata seorang penganalisis.

Felo penyelidik di Institut Kajian Analisis Polititk Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia, Achmed Dzarien Mohd Nazri bagaimanapun berkata, suara orang Melayu yang dilihat agak keras sejak akhir-akhir ini berkemungkinan berkait rapat dengan dengan ciapan yang dibuat Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Sultan Iskandar sehingga dimanipulasi oleh segelintir pihak, termasuk Dr Mahathir Mohamad.

Achmed Dzarien Mohd Nazri

“Mahathir seorang yang licik dan pandai mengambil kesempatan atas apa yang berlaku dengan mewujudkan persepsi bahawa orang Melayu marah pada institusi Raja-raja Melayu.

“Keadaan itu digambarkan dalam situasi sangat teruk sedangkan ia hanya ‘trending’ di Twitter sahaja.

“Orang Melayu hari ini tak marah dengan Raja-raja, cuma tak puas hati dengan prestasi kerajaan PN antaranya berhubung penguatkuasaan undang-undang yang dilihat pilih kasih antara kenamaan dan orang biasa, termasuk kelemahan kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19,” katanya kepada FMT.

Bercakap kepada pemberita selepas menghantar permohonan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara semalam, Mahathir mendakwa, orang Melayu sudah mula menyuarakan kemarahan terhadap Raja-raja Melayu susulan pelaksanaan darurat oleh kerajaan sehingga Parlimen tidak boleh bersidang.

Bekas perdana menteri itu berkata, kemarahan tersebut kerana “penderitaan” mereka kerana negara diletakkan di bawah perintah darurat atas permintaan kerajaan untuk tujuan politik, bukan bagi memerangi Covid-19.

Mengulas lanjut, Achmed Dzarien berkata orang ramai juga marah dengan pelaksanaan darurat yang dilihat tidak mampu mengurangkan jangkitan walaupun pergerakan rakyat dikawal.

Justeru beliau berkata, jika darurat tidak lagi efektif mengawal penularan Covid-19, Agong mempunyai kuasa untuk memanggil mesyuarat Majlis Raja-raja sama ada mahu menamatkan atau meneruskan darurat.

“Perkara itu akan disampaikan kepada kerajaan, sama ada untuk kembalikan semula kuasa kepada kerajaan untuk perbaiki semula keadaan,” katanya.

Mengenai cadangan mengadakan pilihan raya umum untuk menyelesaikan “kemelut politik” pada masa ini, beliau berkata, ia mungkin dilihat sebagai talian hayat kerajaan yang terakhir.

“Kita pun tidak tahu sama ada kerajaan sekarang ada majoriti atau tidak, tetapi dengan memberi laluan kepada pilihan raya dapat ditentukan siapakah yang berhak menjadi kerajaan.

“Setidak-tidaknya dapat memulihkan kepercayaan rakyat kepada sistem demokrasi,” katanya dengan memberi contoh Singapura sebagai antara negara yang mengadakan pilihan raya ketika penularan pandemik Covid-19.

Sementara itu, ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara, Zainal Kling berkata, cadangan supaya darurat ditamatkan hanya datang daripada wakil rakyat yang tidak dapat bersidang di Parlimen, bukannya mewakili keseluruhan suara orang Melayu.

Malah beliau turut mendakwa bahawa terdapat permohonan daripada pertubuhan bukan kerajaan yang dikatakan mewakili orang Melayu kepada Agong supaya penguatkuasaan darurat diperketatkan bagi memastikan keberkesanan kawalan Covid-19.

“Covid-19 masih mengganas jadi kita masih perlu mengekang pergerakan dengan perintah darurat. Ketika darurat pun kita tak dapat nak kawal sepenuhnya apatah lagi jika darurat tiada.

“Prosedur itu betul jumpa Agong, Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) hanya menjalankan pentadbiran dalam rangka kuasa Agong,” katanya.

Menyentuh keperluan mengadakan pilihan raya umum, beliau dengan nada berbeza berkata, Parlimen tidak perlu dibubarkan berikutan keadaan negara yang masih tidak stabil, terutama dalam aspek kesihatan.

“Dalam tempoh ini, tak perlu bubar Parlimen atau adakan pilihan raya sehingga keadaan tamat (wabak berakhir).

“Pilihan raya (negeri) di Sabah juga menunjukkan dengan jelas ia menjadi punca merebaknya penularan wabak,” katanya. – FMT