Penjawat awam Selangor terima ‘durian runtuh’
Kerajaan Selangor hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersempena Aidilfitri sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri yang akan dibayar pada 19 Mei depan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata BKK itu turut diberikan kepada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, speaker dan timbalan speaker, ahli Dewan Undangan Negeri, pengurusan tertinggi dan anggota perkhidmatan kerajaan negeri yang gajinya dibayar oleh kerajaan persekutuan.
“Kerajaan negeri juga bersetuju agar pembayaran BKK dipanjangkan kepada pemimpin masyarakat (MPKK), pegawai perhubungan kampung baru/ bagan/ tersusun, ketua komuniti India dan Penyelia Wanita Berdaya (PWB) sebanyak RM1,000 dan Penggerak Belia Selangor sebanyak RM500 yang akan dibiayai oleh kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Mahabbah Ramadan bersama Penjawat Awam Negeri Selangor, di sini hari ini.
Amirudin berkata pembayaran BKK itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM22.675 juta.
Selain itu katanya setiausaha MPKK dan petugas masjid pula akan menerima RM500 yang akan disumbangkan melalui program tanggungjawab sosial korporat anak syarikat kerajaan negeri.
Dalam perkara lain, Amirudin berkata hingga 15 April lepas, kerajaan negeri mencatatkan kutipan hasil berjumlah RM853.31 juta atau 38.79 peratus daripada anggaran hasil bagi 2021 sebanyak RM 2.20 bilion, penurunan sebanyak 19.39 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu. – AA