“Dahulu saya jawab secara teknikal. Sekarang kalau main 10 kolam sekali pun demi penyatuan ummah saya akan buat.
“Penyatuan ummah bukan hak eksklusif PAS dan Umno, ia juga melibatkan NGO, NGI serta parti-parti bukan Islam yang tidak ekstrem.
“Kalau selepas ini saya bekerjasama dengan MCA macam mana? Kalau saya jumpa pula dengan NGO Muslim yang kuat, satu kolam lagi,” katanya ketika ditanya pada wawancara Sinar Harian, terbit hari ini.
Umno telah memutuskan untuk mengakhiri kerjasama dengan Bersatu sebaik PRU15 bermula.
Pendirian ini menimbulkan tanda tanya kepada PAS yang didakwa masih bersama Umno dengan MN dan pada masa sama menjadi sebahagian parti komponen PN.
Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata rundingan mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan Umno bukan dihentikan tetapi ditangguh.
Jelasnya, PAS buat masa ini hanya membincangkan perkara berkenaan dengan Bersatu.
Abdul Hadi juga berkata Umno perlu mempunyai hala tuju jelas dan menyelesaikan kemelut dalamannya terlebih dahulu sebelum rundingan mengenai pembahagian kerusi PRU15 diteruskan.
Sementara itu, Khairil Nizam juga berkata soal penyatuan kini bukan lagi hak milik Umno dan PAS.
“Ini adalah milik hak umat Islam dan hak orang bukan Islam yang tidak ekstrem yang mahukan kepada penyatuan rakyat,” jelasnya pada wawancara Sinar Harian.
Selaku pemimpin Pemuda PN, dia juga ditanya sekiranya gabungan itu boleh mencapai kemenangan pada PRU akan datang.
Menjawab soalan itu, Khairil mengulangi penegasannya bahawa perkara yang paling penting sekali ialah mewujudkan satu kesatuan ummah yang bukan hak milik eksklusif PAS dan juga Umno
“Jadi, kalau Umno kata dia tidak mahu bersama dengan kerajaan PN, kami pun terfikir kalau dah bubar parlimen esok, menteri-menteri Umno buat apa?
“Jadi saya rasa mengenai rumah tangga mereka (Umno), biarlah mereka selesaikan dahulu. Kita di peringkat PN ini, perlu terus mencari sokongan.
“Mana-mana yang minat bersama dengan PN, hendak menyokong silakan. Tapi mereka bukannya ahli PN. Terbaru, parti Gerakan telah bersama kita,” katanya lagi. – MK