Kasino Genting terus beroperasi, Azmin tunjukkan siapa lebih berkuasa

Kasino Genting terus beroperasi, Azmin tunjukkan siapa lebih berkuasa

Kasino Genting Highlands masih beroperasi di sebalik kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob bahawa dia telah mengarahkan agar ia ditutup pada Jumaat lalu.

Perkara itu menurut pekerja di kasino tersebut yang menyuarakan kebimbangan berkenaan kesihatan dan keselamatan mereka.

Seorang pekerja mendakwa pr masih diberikan kepada pengunjung dan belum ada arahan lanjut daripada pengurusan.

“Menteri telah keluar arahan (tutup) pada Jumaat, tetapi mengapa kami masih beroperasi?” dakwa sumber yang meminta namanya dirahsiakan.

Menurut pekerja itu, bilangan pengunjung ke Genting Resort merosot 80 peratus sejak penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 12 Mei.

Bahagian kasino yang dikendalikan pekerja itu melayan 20 orang semalam dan 10 orang pagi ini.

“Saya ada bercakap dengan beberapa pelanggan (semalam). Mereka kata datang ke sini menggunakan surat yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

“Namun saya rasa mereka yang datang pagi ini adalah tetamu jangka panjang hotel kami,” katanya.

Menurutnya, sukar untuk mengamalkan penjarakan fizikal di meja judi.

“Walaupun pekerja patuh pada peraturan, kontak rapat antara pelanggan tak boleh dielakkan ketika permainan.

“Saya dan rakan sekerja agak bimbang dengan risiko penularan tetapi setakat ini tiada apa yang dilakukan oleh pengurusan. Kami rasa takut,” katanya lagi.

Sumber itu tidak dapat memberikan gambar di tempat perjudian kerana kawasan itu sentiasa dipantau CCTV.

Malaysiakini berulang kali menghubungi kumpulan Genting dan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan komen tetapi tidak berjaya.

Kementerian Kewangan adalah pengawal atur untuk semua syarikat perjudian.

Dalam pesanan teks kepada Malaysiakini, Ismail berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada mesyuarat Jumaat lalu memutuskan kasino itu perlu ditutup.

Bagaimanapun, dia meminta Malaysiakini merujuk Kementerian Kewangan untuk pertanyaan lain.

Ismail berkata, dia telah memaklumkan kepada polis untuk melihat perkara itu setelah dimaklumkan yang kasino tersebut masih beroperasi.

Terdahulu, kerajaan membenarkan pelancong ke Genting Highlands menerusi “gelembung pelancongan” untuk memacu sektor itu. Ia telah menyebabkan berlaku penularan wabak Covid-19. – MK