Adun Meru lompat parti: Dugaan terlalu kecil berbanding parti lain
Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu yakin partinya mempunyai masa depan yang sangat cemerlang dan dugaan yang dihadapi ahli dan pimpinannya terlalu kecil berbanding parti-parti yang lain.
Bercakap dalam sessi bual bicara Next Step oleh Media Oren, Mohamad memberikan ingatan, agar pimpinan partinya terus istiqamah memperjuangkan dasar parti itu, Rahmatan lil alamin.
“AMANAH menghadapi tribulasi yang terlalu kecil untuk dilalui oleh pimpinannya berbanding parti lain.
“Yang penting pimpinan yang ada mesti istiqamah dengan slogan parti iaitu peduli, amanah dan progresif.
“InsyaAllah AMANAH mempunyai masa depan yang cemerlang….itu keyakinan saya,” kata Mohamad ketika mengulas keluarnya beberapa individu yang meninggalkan parti itu.
Baru-baru ini, AMANAH Selangor mengesahkan tindakan Adun Meru (Selangor), Mohd Fakhrurazi Mokhtar keluar dari parti itu dan menyertai PKR.
Sebelum itu, Adun Sabak (Selangor), Ahmad Mustain Othman telah dipecat keahliannya kerana mengambil tindakan yang menyusahkan parti itu.
Menurut beliau, apa yang berlaku adalah selepas kerajaan PH jatuh, ada pemimpin parti itu yang susah hati dan hilang tuju.
“Dalam keadaan hilang kuasa inilah, ahli dan sesetengah pimpinan tak pasti halatuju. Yang dah biasa susah, bolehlah tetapi ada yang bila hilang kuasa menggelabah.
“Maka dia carilah parti yang boleh sambung kuasa dia.
“Ada juga yang bercita-cita nak pegang jawatan yang lebih tinggi. Yang Adun biasa nak jadi Exco. Tiba-tiba mereka tak dapat, maka berlakulah apa yang berlaku,” kata bekas Menteri Pertahanan itu.
Menurut Mohamad, pemimpin keluar parti adalah perkara biasa dan tidak semestinya melemahkan parti itu bahkan kadang-kadang semakin menguatkannya.
“Umno, parti yang besar, pernah hilang pemimpinnya sejak dari awal, bila Datuk Onn meninggalkan parti yang ditubuhnya. Selepas itu Anwar Ibrahim meninggalkan Umno. Tun Dr Mahathir juga meninggalkan Umno. Apa berlaku pada Umno?.
“Pas juga begitu. Ahmad Fuad pergi, Dr Abbas Alias naik. Bekas presiden Pas, Datuk Asri juga meninggalkan Pas. Pas kekal hingga kini.
“Begitu juga Keadilan. Pelbagai tribulasi yang dihadapinya. Kini Keadilan adalah parti terbesar dengan bilangan ahli Parlimen paling ramai.
“Jadi apa yang berlaku dalam AMANAH ini terlalu kecil. Jadi ia tidak akan melemahkan AMANAH, insya Allah,” kata beliau.
Sumber: Malaysia Dateline