Isu derma: PEMBELA harap polis bersedia minta maaf, tarik kenyataan
SAYA tahu ramai yang kecewa dengan kenyataan Ketua Polis Petaling Jaya kononnya ada unsur-unsur penipuan dan melanggar undang-undang dalam usaha kami membela kebajikan rider yang ditahan kerana mempertahankan kalimah Allah baru-baru ini.
Ramai juga yang terus mempercayainya kerana ianya datang dari seorang Ketua Polis daerah yang pasti tinggi integritinya. Sememangnya isu ketelusan kutipan derma ini adalah suatu yang sensitif dalam kalangan masyarakat kita apatah lagi jika ianya adalah NGO-NGO Islam yang pasti diharapkan mempunyai integriti dan ketelusan yang tinggi.
Namun, saya ingin menegaskan dan mengingatkan kita semua supaya kita tidak hilang fokus pada isu sebenar, iaitu isu persendaan terhadap kalimah Allah. Nampaknya kini fokus masyarakat sudah teralih seolah-olah PEMBELA vs polis pula.
Polis adalah sahabat dan rakan strategik kita sejak sekian lama dalam agenda-agenda membela agama, bangsa dan negara. Saya tidak mahu kekhilafan ini menjejaskan hubungan kita apatah lagi menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap integriti polis.
Saya sangat berharap 𝗮𝗴𝗮𝗿 𝗽𝗶𝗵𝗮𝗸 𝗽𝗼𝗹𝗶𝘀 𝗱𝗮𝗽𝗮𝘁 𝗺𝗲𝗻𝗮𝗿𝗶𝗸 𝗯𝗮𝗹𝗶𝗸 𝗱𝗮𝗻 𝗺𝗲𝗺𝗶𝗻𝘁𝗮 𝗺𝗮𝗮𝗳 kepada pihak PEMBELA berikutan isu ini. Kita tidak tergamak nak bawa isu ini ke mahkamah pula, kerana PEMBELA dan pihak polis sepatutnya bekerjasama dan saling membantu dalam agenda menegakkan keadilan.
Kita akan terus follow up isu ini dari semasa ke semasa kerana selagi tiada keadilan dicapai, maka selagi itulah agama Islam terus dihina tanpa segan silu sebegini yang akhirnya segelintir rakyat mengambil keputusan sendiri kerana tidak yakin dengan sistem sedia ada.
Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
13 Jun 2021
Sumber: https://ismaweb.net/2021/06/13/isu-derma-pembela-harap-polis-minta-maaf-tarik-kenyataan/