Penerbit rayu kerajaan benarkan semula ‘shooting’ drama bulan depan

Penerbit rayu kerajaan benarkan semula ‘shooting’ drama bulan depan

Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) merayu kepada kerajaan supaya sektor penerbitan dan penggambaran drama dibenarkan beroperasi pada fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, bulan depan.

Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, perlu memberi pertimbangan dengan memasukkan sektor industri kreatif sebagai sektor yang dibenarkan pada Fasa Kedua selain tidak ada satu pun kluster penyebaran Covid-19 dari kegiatan pengambaran.

“Pihak kami mengalu-alukan pengumuman Pelan Pemulihan Negara (PPN) oleh Perdana Menteri dan menyokong sepenuhnya sebarang langkah terbaik untuk membebaskan negara dari pendemik ini. Kini semua syarikat produksi dan warga kreatif akur dengan arahan pihak kerajaan untuk menghentikan semua aktiviti penggambaran dalam tempoh ‘lockdown’ walaupun perkara ini ternyata merugikan kami dan menjejas pendapatan kami.

“Namun, melalui pembentangan PPN, jangkaan kami, aktiviti penggambaran hanya boleh dimulakan pada September iaitu lagi tiga bulan. Tempoh ini sangat membebankan bagi kami dan berkemungkinan banyak syarikat akan ‘gulung tikar’. Kelonggaran kerajaan yang akan membuka semula operasi sektor tertentu bulan depan sangat kami alu-alukan yang memberi peluang ramai kembali bekerja dan membuka perniagaan.

“Jadi, pihak kami merayu untuk kerajaan turut memasukkan sektor industri kreatif sebagai sektor yang dibenarkan pada Fasa Kedua nanti. Tambahan pula sehingga kini tidak ada satu pun kluster penyebaran Covid-19 dari kegiatan pengambaran,” katanya.

Jurey menerusi surat rasmi yang ditujukan kepada Perdana Menteri berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pada sektor indutsri kreatif terutama berkaitan penggambaran adalah jauh lebih selamat.

“Izinkan kami memberi penjelasan mengenai realiti sebenar sektor industri kreatif terutamanya hal berkaitan penggambaran. Ia bagi memberi kefahaman kepada pihak berkaitan yang salah faham mengenai cara kerja kami dan khuatir setiap keputusan yang dibuat adalah dipengaruhi oleh pihak yang tidak memahami cara kerja kami, warga industri kreatif.

“Sebenarnya SOP dan suasana kerja kami jauh lebih selamat, senang dikawal berbanding sektor perkilangan atau peruncitan yang sudah dibenarkan beroperasi. Justeru, kami memohon agar pihak kerajaan mempertimbangkan rayuan kami ini,” katanya.

Menerusi surat sama, PTVM turut melampirkan justifikasi kewajaran pertimbangan kebenaran operasi sektor industri kreatif (penggambaran indoor dan outdoor).

Justifikasi itu membabitkan definisi studio di mana tidak boleh dihadkan kepada studio rakaman sahaja. Ia perlu diperluaskan meliputi semua ‘lokasi’ yang membabitkan set penggambaran samada rumah, restoran dan lokasi ‘outdoor’.

Kedua mengenai SOP Perbadaan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang mana pihak kerajaan harus terus menggunapakai SOP Finas sebelum ini yang membenarkan aktiviti semua penggambaran di semua lokasi mengikut standard yang dipersetujui bersama.

Selain itu, justifikasi lain yang disenaraikan adalah SOP daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), vaksinasi, isu gaji hari, pendapatan tidak berdokumen dan industi kreatif juga penyumbang kepada ekonomi negara.