Panas!!! Berang dengan pengumuman Pakej PEMULIH, peguam muda ini soal smpai bila kerajaan bantu rakyat guna duit rakyatnya sendiri?
Hujung minggu ini, berat betul perasaan ni. Rasa lemah longlai. Tunggu punya tunggu, masih juga tidak ada khabar berita sama ada PKP dilanjutkan atau tidak. Hari terakhir PKP patut 28 Jun.
Hari Ahad, baru diumumkan PKP akan dilanjutkan. Macam biasa jiwa antara berbelah bagi. Antara nyawa melayang kerana penularan Covid-19 atau mata pencarian.
Haih! Setiap kali membaca jumlah kes di Telegram MKN, memang rasa tidak puas hati perlaksanaan PKP yang saya pun tidak faham apalah puncanya jumlah kes tidak turun-turun. Padahal PKP sudah sebulan.
Kenapa kesannya tidak sama seperti PKP 1.0? Sudah tentu! Sebab cara perlaksanaannya pun tidak sama. Banyak kilang boleh dibuka, beberapa senarai yang bukan essential juga dapat kebenaran.
Serius jadi letih. Letih hendak bising dalam hati, letih menyimpan rasa marah dan kecewa. Letih memikirkan gaji bulanan pekerja dan segala kos tetap perlu dibayar.
Letih memikirkan pinjaman rumah-rumah hendak dibayar dan satu dua rumah kosong tiada penyewa. Pekerja-pekerja, rumah, pinjaman, perbelanjaan. Haih! Liabiliti bulanan puluhan ribu. Letih!
PKP kali ini saya lebih bersedia kerana belajar dari pengalaman PKP 1.0. Kalau kali pertama dahulu semuanya mengejut, sehinggakan ada pekerja yang minta surat sokongan hendak mendapatkan bantuan zakat kerana ahli keluarga lain dibuang kerja. Perbelanjaan jadi tidak sama.
Kali ini lebih bersedia tetapi persediaan tidak tahu berapa lama, kalau perlaksanaan PKP 3.0 dengan nombor yang banyak, serupa macam tiada perlaksanaan PKP juga. Itulah letih! Barangkali sebenarnya bukan letih. Sebenarnya kecewa yang terbuku tetapi simpan setiap hari.
Jadi saya habiskan hari Ahad dengan rasa longlai. Perasaannya seperti putus cinta. Mandi tak basah, tidur tak lena, makan pun tak lalu. Malas hendak fikir, malas hendak atur strategi.
Mujurlah semalam, ada perkhabaran gembira. Seorang sahabat menghantarkan PDF Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) melalui Whatsappp.
Katanya tengok perenggan 70. Terus segera saya langkau semuanya! Tiada pendahuluan. Tulisnya ‘Moratorium 6 bulan akan diberikan kepada golongan B40, M40 atau T20. Fuh! Elok selesai baca tiba-tiba macam rasa lagu Slam ‘Mentari Muncul Lagi’ lalu!
Macam itulah perasaan terasa macam ada talian hayat untuk permasalahan yang sedang berlaku. Kisah kita lain-lain, perbelanjaan juga lain-lain, gaya hidup tidak sama tetapi dalam keadaan begini.
Kalau hal saya mungkin kerana memikirkan gaji pekerja yang hendak dibayar. Memikirkan kos pejabat yang masih perlu dibayar walaupun perniagaan tidak berjalan. Memikirkan pinjaman-pinjaman.
Orang lain berbeza, memikirkan hendak bayar sewa rumah, makan-minum keluarga dan lain-lain. Jadi pada setiap kehidupan yang berbeza ini, apa jenis peluang yang dapat meringankan beban sudah teramat baik untuk setiap kita.
Misalnya I-Citra yang turut diumumkan yang bakal diperkenalkan oleh KWSP. Memang, saya faham itu simpanan hari tua kita untuk memastikan cukuplah perbelanjaan di hari tua nanti.
Sekurang-kurangnya lepaslah makan dan minum dan buat perubatan di hari tua. Tetapi isunya adalah kelangsungan hidup sewaktu pandemic ini. Banyak kita baca, ada yang hendak beli beras pun tidak mampu.
Memanglah kita boleh beri kesedaran itu dan ini tentang kepentingan sewaktu hari tua tetapi sekarang ini, masalahnya hendak hidup beri anak-anak makan pun payah! Hendak meminjam sana-sini pun, semua orang berhati-hati mengatur kewangan masing-masing.
Pengeluaran 5 ribu I-Citra selama 5 bulan itu, dapat membantu mungkin beberapa ahlinya untuk menampung perbelanjaan beberapa bulan ini.
Hendak buat macam mana lagi, bantuan yang kerajaan salurkan tidak sama seperti PKP 1.0 dahulu. Ini sudah kali ke-3, ‘Third wave PKP’. Kali pertama pun, ramai yang dibuang kerja dan tutup perniagaan. Kali ketiga ini, ada yang mampu bertahan kali pertama , sudah mula nyawa-nyawa ikan.
Walaupun seram memikirkan duit simpanan dalam KWSP yang ditolak sejak permohonan I-lestari, I-Sinar dan I-Citra , entah berapa lagi tinggal. Itulah, mudahlah pada kita yang memang ada simpanan dan pekerjaan hendak membebel berkenaan isu jangan keluarkan duit tetapi latar belakang kita tidak sama.
Cumanya, jika kita berjaya menangani PKP 3.0 ini. Selepas bersorak-sorak penurunan, janganlah ulang kesilapan pilihanraya di Sabah lagi. Diikuti pula dengan sikap-sikap pemimpin yang endah tak endah tentang SOP. Selepas itu, ulang semula seperti sekarang. Letih!
Sampai bila lagi, rakyat mahu keluarkan KWSP. Bukit kalau lama-lama tarah nanti botak juga. Pada yang mendapat talian hayat melalui I-Citra ini, gunalah sebaiknya. Kita pun tidak tahu berapa lama lagi akan berterusan, PKP kali ini masih tidak nampak kesan penurunan dengan jumlah kematian harian yang tinggi.
Walaupun 1 ribu tidak besar nilainya tetapi cukup untuk makan seisi keluarga. Cukup untuk 5 bulan, ada keluarga yang mungkin ibu atau bapa yang hilang pekerjaan. Tidak perlu pening pikir makan dan minum seisi rumah untuk seketika.
Gunakan secara bijak. Jangan pergi guna untuk yang bukan keperluan. Hati-hati juga dengan scammer di luar sana yang kononnya menyamar sebagai KWSP lah, badan kerajaan hendak minta data untuk beri bantuanlah. Makin ada peluang duit, makin ramai pula scammer macam ni.
Kita jangan kita. Semoga yang baik-baik sahaja untuk kita semua.
Sumber : FB Nor Zabetha