PAS tegas tidak akan bersama kerajaan baharu

PAS tegas tidak akan bersama kerajaan baharu

Kemelut politik yang berlaku di Perak seharusnya dibincangkan terlebih dahulu di meja rundingan sebelum sebarang tindakan dilakukan, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya, apa yang berlaku itu mungkin melibatkan beberapa faktor sehingga menyebabkan tindakan untuk mengusulkan undi percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

Bagaimanapun, katanya, Pas melihat perkara tersebut perlu diselesaikan secara menyeluruh kerana ia boleh memberi kesan kepada banyak pihak.

“Kita kena tengok penyelesaian secara menyeluruh bukan sahaja di satu negeri kerana ia juga membabitkan negeri-negeri lain termasuk kerajaan Pusat dan sebagainya

“Pendirian Pas, kita tidak akan bersama kerajaan baharu. Kita mempunyai Exco dan apabila kerajaan baharu dibentuk, kita tidak ada Exco,” katanya ketika ditemui semasa melakukan tinjauan di Taman Desa Wangi di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan dalam usul keyakinan ahli Dewan terhadap Menteri Besar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak apabila hanya mendapat 10 undi, berbanding 48 menolak manakala satu berkecuali.

Usul itu dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) atas alasan untuk membuktikan Ahmad Faizal mempunyai sokongan padu daripada semua 59 ADUN sebagai seorang Menteri Besar.

DUN Perak merangkumi 25 ADUN Barisan Nasional yang kesemuanya UMNO, DAP (16), Parti Amanah Negara (lima), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (lima), Parti Keadilan Rakyat (tiga), Pas (tiga), manakala Parti Gerakan Gerakan Rakyat Malaysia dan Bebas masing-masing satu.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/113424/BERITA/Politik/Patut-bincang-dulu-sebelum-buat-keputusan-Tuan-Ibrahim