AMANAH saran Umno buat usul undi percaya terhadap MB Johor

AMANAH saran Umno buat usul undi percaya terhadap MB Johor

Parti Amanah Negara (Amanah) mencadangkan supaya UMNO mengemukakan usul undi percaya kepada kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad bagi membuktikan kerajaan tersebut benar-benar dapat bertahan dan bermaruah untuk mentadbir negeri itu.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, usul tersebut akan dapat membuktikan keabsahan dukungan dan sokongan wakil-wakil parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor.

“Besar kemungkinan sesuatu yang penting akan berlaku esok semasa hari terakhir sesi penggulungan belanjawan negeri yang mungkin akan memanaskan lagi suhu politik kerajaan PN di negeri Johor.

“Susulan daripada beberapa perkembangan menarik berkaitan politik tanah air khususnya di Parlimen dan terkini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, saya merasakan isu keabsahan sesebuah kerajaan itu telah mula menjadi perhatian rakyat di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang sokongan majoriti selepas usul undi percaya yang dibuat ke atasnya tidak mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.

Usul undi percaya yang dibawa oleh Datuk Abd Manaf Hashim (BN-Pengkalan Baharu) itu mendapat 10 undi sokongan, 48 undi menolak manakala satu undi rosak menerusi undi belah bahagi.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga ADUN Simpang Jeram berkata, adalah penting untuk rakyat melihat adakah kerajaan yang ada pada hari ini sama ada di peringkat Persekutuan ataupun negeri memiliki keabsahan itu.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/113413/BERITA/Politik/Amanah-cadang-UMNO-kemuka-usul-undi-percaya-kepada-MB-Johor