Berdepan kes kematian rakyatnya yang tinggi, Sultan Selangor mahu kerajaan pusat pertingkat segera program vaksinasi di Selangor
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin ldris Shah Alhaj bertitah kadar vaksinasi Covid-19 di negeri ini perlu diperluas bagi mengurangkan kadar kematian.
Menerusi satu kenyataan yang dimuatnaik di Facebook Selangor Royal Office, baginda juga berkenan menzahirkan penghargaan khas kepada petugas-petugas barisan hadapan dan sukarelawan di hospital dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 di seluruh Selangor yang bertungkus-lumus bertugas pada Hari Raya Aidiladha yang lalu.
“Baginda berbangga dengan kegigihan pihak terbabit dalam usaha mempercepatkan suntikan vaksinasi kepada rakyat negeri ini dan mendoakan pengorbanan mereka mendapat ganjaran setimpal.
“Sehingga semalam (21 Julai), kadar vaksinasi rakyat Selangor yang memperoleh 1 dos suntikan sudah mencecah 46.9 peratus atau 2.95 juta dos manakala, 15.27 peratus rakyat negeri ini sudah melengkapkan dos vaksinasi masing-masing
“Tegas baginda, kadar vaksinasi Covid-19 di Selangor perlu diperluas bagi mengurangkan kadar kematian yang mencecah 84 kematian sehari, semalam,” tulis kenyataan itu.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menyeru umat Islam di seluruh Selangor menghayati dan memahami intipati Khutbah Aidiladha yang memberi penekanan kepada mengukuh perpaduan dan persaudaraan ummah yang disampaikan oleh khatib pada 20 Julai lalu.
Baginda bertitah, antara yang boleh diambil iktibar ialah matlamat pelaksanaan ibadah haji dan korban yang mengajar kita untuk terus mengukuhkan persaudaraan dalam kalangan umat Islam.
“Ibadah Haji menuntut umat Islam dari pelbagai negara, bangsa dan warna kulit berkumpul bersama-sama sebagai satu jemaah dengan satu tujuan, iaitu semata-mata mahu mengabdikan diri kepada Allah SWT. Begitu juga dengan ibadah korban yang mana hukum melaksanakannya adalah sunat muakkad, bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“Ibadah ini mengajar kita untuk saling bermuafakat, bantu-membantu antara satu dengan yang lain sekaligus dapat mengukuhkan persaudaraan dan sebagai umat Islam yang bersaudara, kita seharusnya mengelakkan persengketaan, jauhi fitnah memfitnah dan berburuk sangka sesama kita.
“Semoga kita sentiasa berada dalam ikatan persaudaraan yang kukuh, hidup dengan aman damai dan harmoni agar dapat menjadi benteng daripada serangan musuh Islam,” jelas kenyataan itu lagi.
Sumber – HarianMetro