Covid-19 : Negara catat lebih banyak kematian mengejut babitkan perintah kuarantin di rumah
Sepasukan anggota bomba membantu mengeluarkan mayat seorang lelaki yang meninggal dunia akibat COVID-19 di kediamannya di Taman Indah Jaya, Petaling Jaya di sini, malam tadi.
Mangsa berusia 41 tahun disedari meninggal dunia oleh ahli keluarganya kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas tidak sedarkan diri apabila dikejutkan kerana menyangka dia sedang tidur.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya difahamkan mangsa disahkan positif virus itu selepas menjalani ujian calitan pada 29 Julai lalu.
“Mangsa bersama dua lagi adiknya yang turut dijangkiti virus berkenaan menjalani kuarantin di kediamannya atas arahan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Keluarga memaklumkan mangsa mengalami kesukaran bernafas dan meracau kira-kira jam 5.30 pagi semalam, sebelum didapati tidak sedarkan diri dan disyaki meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norazam berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Penchala bergegas ke kediaman mangsa untuk membantu mengeluarkan mayatnya selepas menerima panggilan jam 9.26 malam tadi.
“Anggota bomba lengkap berpakaian pakaian pelindung diri (PPE) membantu membawa turun mayat yang berada dalam bilik di tingkat satu rumah teres dua tingkat itu.
“Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sumber – BHarian