Parti seks liar WeChat tumpas, 11 lelaki 7 wanita ditahan bersama dadah ekstasi

Parti seks liar WeChat tumpas, 11 lelaki 7 wanita ditahan bersama dadah ekstasi

Seramai 18 individu termasuk empat wanita warga asing ditahan selepas terbabit dalam parti liar di sebuah kondominium di Kepong, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata, ketika serbuan dibuat pada jam 1 pagi, seramai 11 lelaki dan tujuh wanita berusia 19 tahun hingga 42 tahun itu didapati sedang minum minuman keras.

Katanya, hasil pemeriksaan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sentul turut merampas satu paket plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi atau MDMA seberat 27.5 gram.

“Siasatan awal mendapati, salah seorang daripada suspek berusia 27 tahun adalah penganjur parti liar tersebut.

“Suspek mempromosikan parti liar itu menerusi aplikasi WeChat dengan mengenakan kadar bayaran sebanyak RM150 bagi sewaan setiap bilik selama tiga jam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, suspek didapati mula menjalankan aktiviti berkenaan pada awal bulan ini.

Beh berkata, hasil ujian saringan air kencing juga mendapati 12 suspek positif dadah amphetamine, methamphetamine dan ketamin manakala enam lagi negatif.

“Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat hari ini bagi tujuan siasatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek dikompaun di bawah Peraturan 17, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (PPN) 2021 atas kesalahan mengadakan aktiviti terlarang berkenaan.

Sumber – FMT