Salahkan Tun M, beri peluang kerajaan ‘mandat istana’ urus negara – Ketua Puteri Umno
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan menyindir Presiden Amanah, Mohamad Sabu ekoran kenyataannya baru-baru ini yang menyatakan berkecil hati apabila parti yang kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kembali semula menjadi kerajaan.
Menurut Zahida, Ahli Parlimen Kota Raja itu sepatutnya terkilan dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang meletakkan jawatan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
“Abang Mad sepatutnya terguris kecil hati pada Tun M yang runtuhkan kerajaan PH dulu. Beri ruang kerajaan ‘mandat Istana’ buat yang terbaik untuk rakyat.
“Mohon Abang Mad tabah dan teruslah sumbang idea, semak imbang demi kebaikan negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook semalam.
Terdahulu, Mohamad membuat kenyataan di Facebooknya dengan menyatakan kecil hati apabila UMNO kembali memerintah negara walaupun tewas pada PRU-14 pada 2018 yang lalu.
Kenyataan tersebut dibuat susulan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Ke-9 selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tambah Zahida, rakyat telah melihat proses pilihan raya untuk memilih kepimpinan negara telah menjadi sia-sia sejurus Langkah Sheraton bermula dengan pertukaran kerajaan PH kepada Perikatan Nasional (PN).
Sumber – K! ONLINE