Warisan nyatakan kesediaan bekerjasama dengan PH PRU-15 nanti
Dua parti politik yang berpusat di Sabah dan Sarawak mengalu-alukan pelawaan ketua pembangkang Anwar Ibrahim untuk mereka bekerjasama dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) – tetapi sokongan mereka terhadap gabungan itu bersertakan syarat.
Timbalan presiden Warisan Darell Leiking berkata, hubungan kerja parti itu dengan PH bermula sejak mereka membentuk kerajaan persekutuan pada 2018.
Ahli Parlimen Penampang itu menambah bahawa Warisan bukan sebahagian daripada PH tetapi menyokong Anwar, teramsuk juga minggu lalu ketika diminta menamakan calon Perdana Menteri pilihan mereka.
Leiking memberitahu FMT bahawa beliau ingin menjelaskan salah faham yang Warisan tidak memberikan sokongan kepada Anwar untuk menduduki kerusi panas itu.
“Ramai yang keliru dan kami masih menerima aduan rakan dan kenalan, terutama dari Semenanjung yang mengatakan ‘kalaulah Warisan menyokong Anwar, pasti beliau sudah menjadi PM.’
“Mereka menganggap undian 105 suara Ahli Parlimen (untuk Anwar) adalah PH semata-mata, namun hakikatnya mereka hanya mendapat 88 tetapi bekerjasama dengan parti pembangkang lain termasuk Warisan, untuk menjadikan 105 undi. Malah Dr Mahathir Mohamad sendiri menyokong beliau.
Leiking menambah bahawa pelawaan Anwar itu “baik” tetapi perbincangan masa depan harus terarah membuka jalan ke hadapan untuk pembangkang.
“Perbincangan mestilah ikhlas dan mereka mesti bersedia untuk mengorak jalan baharu atau ‘menetapkan semula’ dalam kita mencari jalan meraih sokongan untuk menghadapi PRU15.
“Ini bukan lagi permainan angka, kerana kami telah mengujinya. Sekarang ini adalah untuk menghadapi pilihan raya berikutnya,” katanya.
Terdahulu hari ini, Anwar berkata beliau akan berjumpa pemimpin parti pembangkang lain untuk mempelawa mereka bergabung atau bekerjasama dengan PH.
Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden PH berkata ia selaras dengan ketetapan pemukiman kepimpinan Pakatan Harapan (PH) menyatakan keterbukaan PH berunding dan bekerjasama serta menggembleng seluruh tenaga di bawah konsep ‘khemah besar’ demi memantapkan blok pembangkang merangkumi 105 Ahli Parlimen.
Parti Sarawak Bersatu (PSB), bagaimanapun, jelas mengatakan tidak berminat untuk bekerjasama dengan PH.
Presidennya Wong Soon Koh berkata mereka tidak akan mengadakan pakatan dengan PH dan berhasrat untuk kekal sebagai parti berbilang bangsa yang bebas dan memperjuangkan hak serta kesejahteraan semua rakyat Sarawak.
“Kami menyokong PH berdasarkan prinsip bahawa kehendak pengundi pada PRU14 mesti dihormati,” kata Wong.
Beliau menambah, PSB akan menghormati keputusan rakyat ketika PRU14 dan tidak akan mengorbankan prinsipnya untuk kepentingan politik, atau menerima “alasan dangkal seperti menyokong pihak yang kalah demi kestabilan politik”.
Beliau berkata, PSB akan menyokong parti-parti yang menang pada PRU14 kecuali mereka keluar dari pilihan raya umum akan datang.
Sumber – FMT