Kerajaan terima ‘durian runtuh’, Petronas sumbang lagi RM7b dividen tambahan
PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) menyasar memperuntukkan perbelanjaan modal bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2021 hampir RM39 bilion hingga RM40 bilion berbanding RM33 bilion dalam tahun kewangan lepas.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata peruntukan perbelanjaan modal itu sebahagian besarnya adalah bagi perbelanjaan domestik antara 50 peratus dan 55 peratus.
Beliau berkata kumpulan itu juga menyasar meningkatkan pelaburan yang diperuntukkan bagi tenaga baharu dan memantapkan strategi kepada 9.0 peratus hingga 10 peratus untuk menjadi entiti mampan bergantung kepada kelulusan lembaga pengarah.
“Dalam meningkatkan usaha perbelanjaan modal, kami memperuntukan RM40 bilion hingga RM45 bilion setahun bagi tempoh lima tahun akan datang. Perkadaran dalam meneruskan usaha itu kebiasaannya antara RM1 bilion dan RM2 bilion,” katanya.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Liza Mustapha berkata kumpulan itu menyasar memperuntukkan pelaburan yang dapat menjana pulangan lebih cepat.
“Kebanyakan pelaburan mempunyai jangka masa tertentu sebelum wang tunai mula masuk,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi kewangan Petronas bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Jun 2021, hari ini.
BERITA BERKAITAN Mohd. Bakke dilantik Pengerusi Petronas baharu, Ahmad Nizam ke PHB
Syarikat minyak nasional itu melabur sebanyak RM12.7 bilion pada separuh pertama tahun ini, khususnya dalam projek huluan berbanding RM14.8 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Ia juga mengumumkan tambahan RM7 bilion dividen kepada kerajaan, menjadikan jumlah sumbangan sebanyak RM25 bilion bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2021.
Sebelum ini, ia meluluskan sejumlah RM18 bilion bagi tahun kewangan 2021.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan ketua Pegawai Eksekutif bahagian tenaga baharu dan gas Petronas Adnan Zainol Abidin berkata kumpulan tersebut berada di landasan untuk mencapai sasaran dalaman 3 gigawatt (GW) kapasiti solar dalam operasi dan pembangunan menjelang 2024.
“Banyak kerja yang perlu dilakukan, kami terus maju kehadapan dan sentiasa mencari peluang penggabungan dan juga pengambilalihan tetapi pada masa yang sama, mengembangkannya secara organik,” katanya.
Semasa separuh pertama 2021, segmen tenaga baharu Petronas mengembangkan kapasiti solarnya dalam operasi dan pembangunan kepada lebih satu GW.
Ini termasuk 118 MW di Malaysia dan 976MW di India menerusi syarikat tenaga diedar milik penuh Petronas, Amplus Energy Solutions.
Sumber – UtusanTV