Dr. Maza harap isu gadis melayu kahwin ikut upacara Sikh dibahas secara ilmiah bukan emosi

Dr. Maza harap isu gadis melayu kahwin ikut upacara Sikh dibahas secara ilmiah bukan emosi

Beberapa pihak bertanya saya tentang hal ini. Sebahagian mereka bermaksud untuk menjadikan isu ini modal politik mereka bagi mencerca pihak-pihak yang tidak sebulu dengan hasrat siasah mereka. Sebahagiannya jujur memang ingin mengetahui jawapan. Di sini saya ringkaskan jawapan saya:

Perkahwinan merupakan bab fikah, iaitu berkaitan suruhan atau larangan yang membabitkan dosa, pahala atau keharusan (permissible). Jika perkahwinan itu tidak mengikut apa yang ditetapkan oleh nas dan dalil yang berasaskan al-Quran dan al-Sunnah – tanpa sebarang keuzuran yang sah- maka pelakunya melakukan dosa. Perbuatan dosa tidak semestinya menjadikan pelakunya kafir selagi dia tidak menghalalkan perbuatan itu. Ini termasuk wanita berkahwin dengan lelaki yang bukan Muslim.

Allah menyebut dalam Surah al-Baqarah ayat 221 (maksudnya):

“Dan janganlah kamu menikahi wanita-wanita musyrik, sehingga mereka beriman. Sesungguhnya wanita hamba yang mukminah lebih baik daripada wanita musyrik, walaupun dia mengagumkan kamu. Dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik (dengan wanita-wanita mukmin) sehingga mereka beriman. Sesungguhnya hamba yang mukmin lebih baik daripada orang musyrik, walaupun dia mengagumkan kamu. Mereka itu mengajak kepada neraka, sedang Allah mengajak kepada surga dan keampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada manusia supaya mereka mempelajari”.

Untuk menghukum perkahwinan pasangan tersebut sebagai tidak sah, memerlukan penelitian. Apakah benar hanya itu upacara akad perkahwinan yang mereka lakukan atau telah terdahulu sebelum itu upacara yang lain yang memenuhi syarat yang syarak tetapkan? Apakah benar salah satu pasangan tidak menganut Islam? Hal ini perlu kepada semakan dan siasatan sebelum menghukum mana-mana pihak. Berhati-hati itu disuruh oleh agama.

Perbuatan sujud kepada selain Allah adalah haram dengan sepakat para ulama. Pelakunya berdosa besar. Namun, apakah seseorang itu menjadi kafir dengan perbuatan tersebut? Perkara ini terbahagi kepada dua keadaan.

Pertama; jika seseorang itu sujud kerana ibadah, dalam erti kata mengagungkan yang disujudkan seperti tuhan maka dia menjadi kafir.

Kedua, jika dia sekadar memberikan penghormatan (tahiyyah) tidak bermaksud ibadah, maka itu tidak menjadikannya kafir.

Perbuatan itu dilarang dalam syariat Nabi Muhammad SAW. Ia diizinkan pada mereka yang terdahulu seperti sujud malaikat kepada Adam (lihat: Surah al-Baqarah ayat 34 dan banyak ayat lain), sujud kaum keluarga Nabi Yusuf kepada baginda semasa berada atas singgahsana kerajaan (lihat: Surah Yusuf ayat 100) dan beberapa peristiwa yang lain. Itu semua adalah sujud penghormatan bukan ibadah.

Ertinya, dalam syariat Nabi Muhammad, perbuatan sujud kepada selain Allah itu haram, namun untuk menghukum pelakunya menjadi kafir memerlukan penelitian.

Kata al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H) dalam al-Sail al-Jarrar:

“Ketahuilah bahawa menghukum seseorang Muslim keluar dari agama Islam dan menjadi kafir, itu tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat kecuali dengan bukti yang lebih terang daripada mentari di siang hari. Ini kerana telah sabit dalam hadis-hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada sekumpulan sahabat nabi bahawa sesiapa yang menyatakan kepada saudaranya ‘wahai kafir’ maka ia akan kembali kepada salah seorang mereka…”.

Kemudian al-Imam al-Syaukani mengulas tentang sujud kepada selain Allah, kata beliau:

“Hendaklah dikaitkan bahawa sujud seseorang itu bertujuan kerana rububiyyah (ketuhanan) pihak yang dia sujud kepadanya. Maka, dengan sujud itu dia telah mensyirikkan Allah dan menetapkan bersama-NYA tuhan yang lain. Adapun jika dia tidak bermaksud kecuali memuliakan (pihak yang disujud) seperti yang terjadi pada orang yang masuk kepada raja-raja asing di mana dia mencium tanah sebagai memuliakannya. Ini bukan kekufuran sama sekali. Tokoh-tokoh ilmuwan mengetahui bahawa mengkafirkan (seseorang) atas andaian adalah sebesar-besar kegelinciran” (al-Syaukani, al-Sail al-Jarrar, ms 978. Beirut: Dar Ibn Hazm).

Apa pun, perbuatan sujud kepada selain Allah boleh mendekati kekufuran, sekalipun mungkin tidak sampai menjadi kafir, jika pelakunya tiada niat ibadah. Ini apa yang pernah dinyatakan oleh al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab:

“Apa yang dilakukan oleh ramai dari golongan jahil dengan perbuatan sujud di depan guru-guru (tokoh agama) adalah haram secara pasti, dalam apa keadaan sekalipun. Ini samada mengadap ke arah kiblat atau selainnya. Begitu juga samada dia maksudkan (dengan perbuatan itu) sujud kepada Allah atau tanpa maksud tersebut. Dalam sebahagian keadaan membawa kepada kufur ataupun mendekati kekufuran” (al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/69. Beirut: Dar al-Fikr).

Kejadian ini dilaporkan berlaku di luar Malaysia. Ia pada sisi undang-undang yang sedia ada dalam negara ini adalah satu kesalahan. Hal ini menunjukkan ruangan melakukan perkara itu belum dibuka di Malaysia. Walaupun dalam pentadbiran yang lepas ada tokoh-tokoh parti tertentu mendesak hal ini dibuka, namun mereka belum berjaya.

Jika masih ingat, semasa kerajaan yang lepas, terdapat menteri penting kerajaan terlibat dengan solat atas batu Karbala di luar negara. Kemudian, menteri itu juga menghadiri pusat aktivis Syiah di Satun Thailand, pergi melalui Perlis. Hal ini juga tidak di ambil tindakan oleh mana-mana pihak semasa itu sebab ia berlaku di luar negara.

Saya berpendapat kes ini tiada kaitan dengan pelaku anak siapa atau anak saudara siapa. Kesalahan ini adalah kesalahan peribadi melainkan pihak lain menyokong perbuatan tersebut. Jika kita masih ingat, dahulu ada anak menteri penting yang diputuskan mahkamah terlibat dengan dadah. Apakah itu bererti semua mereka yang berada dalam kerajaan ketika itu menghalal dan menyokong dadah? Sudah pasti itu andaian yang tidak tepat.

Kesedaran dan dakwah tentang perbezaan akidah amatlah penting difahami. Ia bukan untuk tujuan perbalahan, tetapi mengetahui sempadan akidah Muslim. Sebelum ini terdapat orang politik dalam pentadbiran lepas yang menentang dakwah perbandingan agama sekalipun secara ilmiah dan sopan. Bahkan mereka mendesak pendakwah yang membicarakan hal itu dihukum.

Isu ini hendaklah dibahaskan secara ilmiah bukan emosi. Kita mesti melihat kes dengan siasatan yang teliti dan berhati-hati. Menghukum kesalahan individu hendaklah setelah mendengar penjelasan dari pihak berkaitan, melainkan pihak terbabit menghalalkan kesalahan dan menyokong penyelewengan.

PROF MADYA DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN ialah mufti Perlis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/556059